Semangat itu yang ditunjukkan dua sahabat baik Mohamad Safri Mahmud, 25, dan Mohd. Amiludin Hafiz Wahab, 25, sehingga bergelar usahawan berjaya pada hari ini.

Bagi Mohamad Safri, lulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang kaunseling Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Kuala Terengganu itu, dia terpaksa mengikat perut dan melakukan pelbagai kerja sambilan ketika zaman belajar untuk mengumpul duit mengusahakan tanaman cili.

Hasil usaha yang tidak pernah kenal erti putus asa itu, Mohamad Safri berjaya mengumpul sebanyak RM10,000 dan berkongsi dengan Mohd. Amiludin yang mengeluarkan modal sama bagi mengusahakan sebidang tanah terbiar di Kampung Musa, Pedu di sini untuk tujuan penanaman cili secara fertigasi atau sistematik bermula pada April lalu.

Katanya, berbekalkan modal RM20,000 untuk peralatan ta­naman, benih dan penyediaan medium tanah, mereka memulakan projek dengan menanam 8,000 pokok cili di kawasan ta­nah seluas kira-kira 0.3 hektar.

Malah, selepas enam bulan katanya, tanaman itu akan mula dituai secara keseluruhan de­ngan anggaran sehingga lapan tan cili berjaya dihasilkan dengan pendapatan sekitar RM60,000.

Ujarnya, sebelum itu, pada tiga bulan pertama, mereka berjaya mengutip antara 500 sehingga 600 kilogram cili yang dipasarkan kepada pemborong, kedai makan, peniaga sekitar Kuala Nerang, Alor Setar, Jitra, Pendang, Sungai Petani selain diniagakan sendiri di kawasan ini.

“Kita menggunakan teknik fertigasi bagi tanaman cili ke­rana menjimatkan masa dan mengehadkan penggunaan ta­nah selain mengurangkan penggunaan air antara 30 dan 50 peratus berbanding teknik tanaman tradisional dengan menanam terus di atas tanah.

“Hasil tanaman kami juga selamat untuk dimakan kerana menggunakan baja dan vitamin yang dihasilkan sendiri secara organik tanpa penggunaan racun kimia.

“Sistem kawalan air pula lebih cekap untuk memastikan pokok cili mendapat bekalan air dan nutrien secukupnya. Sumber air dan nutrien yang mencukupi menjamin kualiti buah cili dihasilkan,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Tambahnya, setiap pokok yang ditanam mampu menghasilkan dua kilogram cili yang mampu dijual antara RM7 dan RM10 sekilogram.

Mohammad Safri juga berharap projek itu dapat membuahkan hasil lumayan dan menyasarkan untuk membuka lebih banyak kebun baharu bagi tanaman tersebut selepas ini.

“Kita juga mensasarkan untuk menembusi pasaran antarabangsa seperti Hong Kong, Singapura, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan banyak lagi menjelang tahun depan.

“Selain itu, projek yang di­usahakan kami itu juga berjaya membuka peluang pekerjaan kepada golongan muda di kawasan ini,” katanya.