Upacara diketuai oleh Pegawai Daerah Baling, Datuk Mohd. Shuhaimie Abdul Rahman de­ngan kehadiran semua Penghulu Mukim daerah ini dan ketua-ketua jabatan.

Menurut Mohd. Shuhaimie, majlis bermula pada pukul 8 pagi itu dijalankan dengan penuh adat istiadat dan lancar.

“Menariknya, selain ketua-ketua jabatan yang mengambil air sumber mata air itu, Pegawai Daerah Hulu Perak, Zulhisham Ahmad Shukori dan Pegawai Daerah Betong, Thailand, Damrong Deesakul turut hadir bersama untuk mengambil air mata air itu untuk dipersembahkan kepada Tuanku Sultan,” kata Mohd. Shuhaimie ketika ditemui pada majlis itu.

Menurutnya, acara pengambilan air ini diadakan sempena Istiadat Pertabalan Sultan Sallehuddin sebagai Sultan Kedah Ke-29 di Istana Anak Bukit, Alor Setar pada 22 Oktober ini.

Katanya, kali terakhir istiadat ini berlangsung adalah pada 59 tahun lalu iaitu pada 20 Februari 1959 menyaksikan Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Sultan Badlishah bagi meng­­gantikan ayahanda­nya, Al­­marhum Sultan Badlishah Al­marhum Sultan Abdul Hamid Ha­lim Shah.

“Acara dimulakan dengan bacaan tahlil oleh Anak-Anak Tahfiz Maahad Tahfiz Darul Hijrah, diikuti bacaan doa oleh Pegawai Agama Daerah, Sheikh Mohd. Naem Ahmad.

“Setelah air yang diambil itu mencukupi dan dimasukkan ke dalam bekas yang dinamakan batil, ia akan dibawa pulang ke istana untuk majlis yang sete­rusnya,” kata Mohd. Shuhaimie.

Katanya, pertabalan kali ini amat bersejarah kepada rakyat Kedah dan mengharapkan agar ke semua rakyat jelata tidak melepaskan peluang menyaksikan detik-detik penuh bermakna yang jarang-jarang sekali diadakan.