Manaka tidak, ini kerana ramai tidak sabar untuk turut serta dalam acara kemuncak menyembur air dan menabur bedak wangi yang mewarnai pesta sambutan tahun baharu dalam kalendar masyarakat Siam itu.

Percikan dan pancutan daripada senapang air serta gelak ketawa daripada kanak-kanak sehinggalah orang dewasa merupakan pemandangan biasa yang dapat dilihat semasa sambutan pesta tersebut.

Suasana sama dapat dilihat semasa penganjuran Pesta Songkran di Wat Lamdin di sini baru-baru ini yang berjaya mencatatkan kehadiran lebih 1,000 pengunjung biarpun tidak diadakan dengan skala besar.

Ketua masyarakat Siam Padang Terap, Achey Endin Chun berkata, Pesta Songkran merupakan perayaan menyambut tahun baharu tradisional masyarakat Siam yang diwarisi sejak turun-temurun.

Katanya, keunikan yang dimiliki oleh pesta itu secara tidak langsung telah menarik perhatian kaum lain daripada kawasan sekitar untuk menyaksikan kemeriahan sambutan tersebut.

“Sambutan yang diadakan sangat meriah dan lihat sahaja dengan ada mini konsert dan kemudahan untuk mendapatkan air juga senang.

“Ini berbeza pada waktu dahulu iaitu ada telaga masih digunakan sebagai sumber air dan tidak banyak kemudahan yang ada macam sekarang ini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata, penganjuran kali ini adalah hasil inisiatif masyarakat Siam di daerah tersebut yang sepakat untuk menjayakan Pesta Songkran bagi mengekalkan warisan budaya itu agar diteruskan oleh generasi muda di masa hadapan.

Menceritakan mengenai sambutan itu, jelasnya, sebelum acara pesta bermandikan air itu diadakan, golongan muda perlu mengikut tradisi, memohon maaf serta meminta restu daripada golongan tua terlebih dahulu di dalam sesebuah komuniti.

“Golongan tua yang dimaksudkan adalah ibu bapa, datuk, nenek serta sami yang perlu diberi penghormatan.

“Mereka ini akan dimandikan dengan air bersih dan diletakkan bedak di anggota badan sebelum dikenakan pakaian baharu serta bersih," ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air merangkap Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang turut hadir pada sambutan tersebut berkata, penganjuran kali ini mempunyai keunikan tersendiri kerana dianjurkan oleh komuniti masyarakat Siam di kawasan Padang Terap dan tidak melibatkan mana-mana agensi dan jabatan kerajaan.

“Terdapat 10 kampung masyarakat Siam yang berada di daerah ini, dan dilihat begitu bersatu padu untuk menganjurkan pesta tersebut mengikut kemampuan mereka.

“Sebenarnya sejak berpuluh tahun dahulu mereka telah mengadakan sambutan pesta ini dan secara tidak langsung berjaya menarik kehadiran bukan sahaja masyarakat dari Padang Terap malah kawasan lain,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, promosi melalui media massa perlu diperhebat termasuklah menjadikan sambutan pesta tersebut sebagai salah satu produk pelancongan bukan sahaja di negeri Jelapang Padi ini sahaja malah negara.

Dalam pada itu, seorang pengunjung, Rabiab Mee, 32, berkata, dia mengambil peluang cuti hujung minggu untuk menyertai sambutan Pesta Songkran di negeri kelahirannya itu.

“Peluang yang diadakan ini tidak boleh dilepaskan kerana ia bukan selalu dianjurkan disebabkan itu saya datang ke sini walaupun saya berasal dari Pendang.

“Saya bersyukur kerana masih diberikan kesempatan untuk memberikan penghormatan kepada nenek moyang dan golongan yang lebih tua,” ujar penganalisa kewangan di sebuah bank di Kuala Lumpur itu.