Berbekalkan pengalaman lebih 10 tahun dalam bidang tersebut, Ahmad Fauzi memberanikan diri membawa perubahan dalam perusahaan tersebut yang cukup terkenal apabila berada dalam pasaran sejak 30 tahun dahulu.

Beliau yang pernah menjadi konsultan teknologi maklumat kepada syarikat terbabit seawal 2008, melancarkan usaha pengambilalihan bermula 2014 dengan mengenal pasti beberapa masalah utama membelenggu syarikat itu.

“Isu utama pada ketika itu ialah pasaran produk keluaran syarikat bercirikan tradisional yang mana hanya bertumpu kepada pasaran offline, jadi saya gunakan platform baharu yang mengembangkan pasaran menerusi online,” katanya ketika ditemui di Ibu pejabat Kacip Emas Sdn. Bhd., di sini hari ini.

Syarikat tersebut mengeluarkan makanan alternatif kesihatan yang disasarkan untuk memupuk gaya hidup sihat dengan pengambilan makanan berkhasiat, berkualiti tinggi serta mempunyai nilai perubatan daripada herba dan sayuran.

Produk utama syarikat itu ialah Jus Kacip Emas, Jus jantung dan paling baharu, Teh O Ais Limau Madu kelulut yang dilancarkan baru-baru ini.

Ahmad Fauzi yang pernah menjadi tenaga pengajar di Institut Pengurusan dan Integriti Negeri (Inspin) berkata, produk makanan alternatif mempunyai potensi tinggi untuk pasaran besar hingga ke peringkat antarabangsa tetapi terdapat beberapa halangan.

“Antara halangan yang kita hadapi ialah produk itu sendiri apabila tidak memenuhi kriteria utama seperti ketahanan serta kualiti kemudian dikembalikan, jadi saya fokus kepada perkara ini terlebih dahulu pada peringkat awal.

“Aspek tersebut diselesaikan dengan menggunakan botol baharu yang lebih tahan selain sukar untuk ditiru peniaga tidak bertanggungjawab yang ‘men­cetak rompak’ produk kami,” katanya.

Oleh kerana telah lama berada dalam pasaran, Ahmad Fauzi berkata, aspek yang turut ditambah baik adalah kaedah jualan yang mana sebelum ini menggunakan sistem lama berlandaskan konsep pengedar tunggal yang mudah diambil kesempatan.

“Sebelum ini kita berharap kepada sistem tersebut yang pada masa sama terdedah kepada produk tiruan dan manipulasi harga, jadi sistem yang lebih sistematik diperkenalkan dengan melantik ejen negeri dan daerah,” katanya.

Menurutnya, setelah isu-isu berkenaan selesai, perkara sete­rus­nya yang menjadi fokus adalah penjenamaan semula produk dan syarikat itu sendiri dengan memperkenalkan kaedah lebih mesra pelanggan.

“Sebelum ini, kita menggunakan kaedah lama dengan mempamerkan gambar orang sakit dengan anggota badan yang terjejas tetapi seiring dengan kemajuan pada hari ini ia tidak lagi sesuai.

“Oleh itu, kita memperkenalkan pendekatan baharu iaitu memberi kesedaran betapa pen­tingnya gaya hidup sihat di sam­ping pengambilan makanan yang mempunyai manfaat tinggi untuk kesihatan,” katanya.