Muhamad Fuzilah Che Azmi, 35, dan isteri, Siti Zakiah Mustafa, 28, serta dua anak mereka, Muhammad Izzul Darwisy, 7, dan Siti Nur Iklil Amani, 2, tinggal di teratak buruk yang hanya berdinding buluh dan beratap zink terbuang serta kayu bulat diambil dari hutan sebagai tiang.

“Di sinilah kami empat beranak berteduh sejak tiga tahun lalu kerana tidak mampu mendiami rumah lebih selesa dan sempurna.

“Saya ke hutan mencari kayu bulat sebagai tiang, buluh dibuat dinding serta mencari barangan terbuang yang boleh digunakan untuk menutup dinding. Teratak inilah ‘syurga’ kami,” kata Muhamad Fuzilah ketika ditemui di Kampung Charuk Bakung, Dalam Wang, di sini kelmarin.

Demi kelangsungan hidup, Muhamad Fuzilah dan isteri perlu berdikari meskipun terpaksa mengutip kayu-kayu hutan untuk dijadikan rumah sebagai tempat berteduh.

“Sampai bila saya mesti me­numpang di rumah orang tua, biarpun terpaksa tinggal di rumah tidak selesa, saya perlu teruskan kehidupan.

“Saya dan isteri serta anak-anak terpaksa berpindah tempat tidur berikutan atap zink bocor sana sini,” katanya.

Katanya, mereka menggunakan air bukit untuk rutin harian termasuk untuk tujuan memasak, membasuh dan menumpang menggunakan bekalan elektrik dari rumah ahli keluarganya yang tinggal berdekatan.

“Pendapatan saya tidak menentu dan hanya bekerja mengambil upah apa-apa kerja yang diminta jiran,” katanya.