Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air, dan Tenaga negeri, Ir. Zamri Yusof berkata, pembinaan itu dilakukan dengan kadar segera sejak Isnin lalu bagi menampung keperluan mendesak penduduk di kawasan Tanjung Dawai, Bedong dan Merbok.

KERJA-KERJA penggerudian terus dilakukan oleh Jabatan Mineral dan Geosains bagi menangani krisis bek
KERJA-KERJA penggerudian terus dilakukan oleh Jabatan Mineral dan Geosains bagi menangani krisis bekalan air di sekitar Merbok, Alor Setar, Kedah, semalam.

Kata beliau, secara keseluruhan kawasan tersebut yang terjejas teruk akibat tekanan air rendah, adalah melibatkan sebanyak 5,000 akaun pengguna iaitu 40 peratus daripada 14,000 akaun.

“Ini disebabkan Loji Air Tupah yang sebelum ini mampu membekalkan 20 MLD bekalan air tetapi kini hanya 7.5 MLD manakala Loji Air Merbok pula daripada 3 MLD kepada 0.8 MLD sahaja.

“Setakat semalam, lubang telaga tiub bawah tanah itu selesai digali pada kedalaman 50 meter dan kita akan teruskan sehingga 100 meter kedalamannya bagi mendapat air yang berkualiti dan kekal.

“Kita juga menerusi Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) mengenal pasti satu kawasan lagi untuk dibina telaga tiub kedua iaitu di kawasan berdekatan (telaga tiub pertama),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bagi memaklumkan perkembangan terkini krisis bekalan air yang berlaku di sekitar Merbok iaitu Tanjung Dawai, Bedong, Semeling, Singkir dan Gurun di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Semalam Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar berkata, kerajaan akan menggunakan air bawah tanah di Tupah dan Merbok sebagai alternatif membantu penduduk Kedah yang kini berdepan dengan masalah air bersih ekoran kejadian kemarau melampau yang sedang berlaku.

Dalam pada itu, menurut Zamri, bagi mengatasi segera masalah penduduk terlibat, kerajaan negeri menerusi Syarikat Air Darul Aman (SADA) Sdn. Bhd. telah menyediakan sebanyak 39 buah lori air daripada pelbagai sumber termasuk menyewa.