Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan dan Sumber Air dan Tenaga negeri, Zamri Yusuf berkata, pihaknya menolak cadangan kenaikan sehingga 20 peratus seperti yang disyorkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Menurutnya, kadar kenaikan tersebut tidak bersesuaian buat masa ini kerana kerajaan negeri dan agensi terlibat mahu meningkatkan kualiti serta perkhidmatan bekalan tersebut kepada pengguna terlebih dahulu.

“Menaikkan tarif air bukan keutamaan kita buat masa ini dan kekurangan hasil kepada syarikat (Syarikat Air Darul Aman) boleh ditampung dengan kaedah lain termasuk mengurangkan kadar kehilangan air tanpa hasil (NRW).

“Namun, kita tidak menolak terus cadangan itu dan kadar baharu tarif air pula masih belum diputuskan, tetapi ia dijamin rendah dan tidak akan membebankan pengguna” katanya dalam sidang akhbar semasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di sini hari ini.

Terdahulu, ketika menjawab soalan Datuk Suraya Yaacob (BN-Sungai Tiang) pada sidang DUN mengenai paras bekalan air terkini, Zamri memberitahu, paras air di lima empangan di Kedah adalah mencukupi bagi kegunaan domestik dan pertanian.

“Lima empangan utama iaitu Empangan Beris, Pedu, Muda, Ahning dan Malut berada pada paras lebih selamat apabila cuaca hujan dalam tempoh dua minggu ini,” katanya.

Tambah beliau, peratus takungan Empangan Beris sehingga semalam adalah 56.31 peratus, Pedu (79.64 peratus), Muda (47.8 peratus), Ahning (67.25 peratus) dan Malut (75 peratus).

Pada masa sama, Zamri mendedahkan pengguna air domestik di negeri ini mempunyai kadar penggunaan air antara yang tertinggi di negara ini iaitu antara 230 hingga 250 liter air seorang dalam masa sehari.

“Saya kira kadar tarif air rendah merupakan antara punca penggunaan air yang tinggi apabila seorang pengguna hanya perlu membayar 23 sen sehari,” katanya.

Sehubungan itu, ujarnya, satu kempen penjimatan air giat dilakukan dan pihaknya menyasarkan kadar penggunaan air dapat dikurangkan kepada 200 liter seorang sehari dalam tempoh dua tahun ini. -UTUSAN ONLINE