Mohd. Khairul Adhar Mat Isa, 25, berkata, dia nekad untuk menangguh pengajian di semester empat kira-kira setahun lalu selepas ibunya, Siti S’adah Hussain, 62 disahkan menghidap penyakit kanser payudara.

Menurut anak bongsu daripada dua beradik itu, pada pe­ringkat awal, ibunya hanya me­­­ngalami kesukaran untuk menggerakkan tangan kiri sebelum kaki kiri juga menunjukkan masalah sama.

“Lama-kelamaan, ibu me­nga­lami kesukaran untuk bercakap pula. Apabila dibawa ke hospital, doktor mengesyaki ibu saya me­ngalami strok kerana terdapat ketumbuhan pada otak­nya.

“Tidak lama selepas itu, ibu mengadu berasa sakit pada bahagian payudaranya dan bila dirujuk kepada pakar, dia disahkan menghidap kanser tahap empat pada Disember tahun lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini kelmarin.

Terdahulu, Pengasas Cancer Survivors Malaysia, Zuraini Kamal menerusi Projek Jariah me­nyampaikan sumbangan berupa susu khas, lampin pakai buang serta barangan makanan ketika berkunjung ke rumah Siti S’adah di Taman Seri Permai, di sini.

Mohd. Khairul Adhar memberitahu, dia mengambil keputusan untuk menangguhkan pe­ngajian kerana berasa bimbang untuk meninggalkan ibunya sendirian di rumah terutama selepas wanita tersebut diserang sawan seminggu sebelum Ramadan baru-baru ini.

“Sejak diserang sawan pada Mei lalu, dia langsung tidak boleh bergerak dan hanya mampu terlantar di atas katil sahaja. Kini, ibu hanya mampu minum susu khas menggunakan tiub serta terpaksa menggunakan lampin pakai buang.

“Mujur ibunya mempunyai pencen bulanan serta baru-baru ini mendapat bantuan zakat untuk belanja membeli susu khas dan lampin pakai buang yang mence­cah hampir RM800 sebulan,” ujarnya yang terpaksa mendapatkan ihsan pemilik rumah untuk menangguhkan bayaran sewa.

Orang ramai yang mahu me­nyumbang boleh menyalurkan bantuan ke akaun Bank Islam milik Mohd. Khairul Adhar di nombor 02011021037822 atau Maybank, 152023491869 atau hubunginya di talian 013-4912208.