Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Ma­syarakat, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan dan Usahawan negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, hasil pertemuan tersebut diharapkan memutuskan cadangan terbaik dalam membela nasib wanita yang terjebak de­ngan perkahwinan itu.

“Pelbagai masalah harus ditempuhi oleh wanita yang berkahwin di sempadan Thailand dan perkara ini lebih buruk apabila perkahwinan itu tidak didaftar di negara ini sekali gus mendatang krisis termasuk anak-anak mereka.

“Kita berharap melalui pertemuan dengan pegawai agama Islam di Selatan Thailand, khususnya di Songkla pada 2 April ini, banyak masalah berbangkit hingga merugikan wanita ini da­pat diselesaikan,” katanya se­lepas merasmikan program sambutan Hari Wanita Antarabangsa Pe­ringkat Kedah di Pusat Transformasi Bandar (UTC), di sini semalam.

Suraya berkata, usaha tersebut diharapkan dapat memastikan pelbagai masalah yang timbul ekoran perkahwinan di sempadan Thailand seperti anak tidak mempunyai dokumen pengenalan diri akan dapat diselesaikan.

“Wanita bakal dilanda dengan pelbagai permasalahan kehidupan jika sentiasa lawan arus termasuk berkahwin di negara jiran yang tidak mendapat restu dari keluarga sendiri.

“Namun setiap cabaran dalam hal perkahwinan boleh dise­lesaikan jika undang-undang di­utama­kan,” katanya.

Katanya, lawatan tersebut turut disertai wakil Majlis Agama Islam negeri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.

Dalam pada itu, program anjuran Majlis Pembangunan Wa­nita dan Keluarga (MPWK) negeri itu berlangsung dengan pelbagai aktiviti termasuk acara memotong kek dan pemberian hadiah berupa bunga kepada jemputan sebagai simbolik sambutan.