Malah, Ahmad mereka model topografi dengan meneliti corak sejarah pembangunan sosial serta infrastruktur dari sudut bentuk muka buka bumi untuk memberi gambaran skala kecil pembangunan secara keseluruhan Kota Suci Mekah.

Ahmad yang pernah bertugas sebagai tenaga pengajar di fakulti sejarah dan geografi Universiti Ummul Qura, Arab Saudi sejak 1977 menggunakan kepakaran mereka bentuk model topografi tempat bakal jemaah mengerjakan umrah dan haji.

Minat yang bermula pada seawal umur lima tahun timbul ketika mengikuti keluarganya berpindah ke Mekah pada 1949 membuatkan beliau begitu te­ruja untuk mempelajari sejarah tamadun Islam di kota suci itu.

“Inilah hasil keringat usaha lahir dari kecintaan saya terhadap bidang ini yang saya dalami selama lebih empat dekad berada di Mekah sebelum pulang untuk menetap di tempat kelahiran saya.

“Oleh itu, tidak sanggup untuk saya meninggalkan hasil kerja ini di Tanah Suci Mekah dan saya tidak kisah mengeluarkan belanja besar membawa balik koleksi dan khazanah berharga ke Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurutnya, lebih RM50,000 sudah dibelanjakannya bagi mengumpul bahan yang mempunyai nilai sejarah apatah lagi barangan tersebut sangat bermakna dalam hidupnya itu.

“Saya membelanjakan kira-kira 6,000 riyal (RM6,732.76) untuk membawa pulang bahan bersejarah berkenaan ke Malaysia dengan menggunakan satu kontena yang disewa khas dari Arab Saudi.

“Saya mengambil masa kira-kira 10 tahun untuk mengumpulkan bahan kerana saya dapati bahan sejarah serta geografi sangat berguna untuk dijadikan rujukan kepada masyarakat di negara ini yang tidak berkesempatan untuk menjejakkan kaki ke Mekah dan bandar di sekitarnya,” katanya.

Ahmad yang lahir di Padang Hang, Alor Setar mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita warga Mesir, Muna Ya­mani Mohamad, 61, pada 1977 dan dikurniakan empat anak berusia antara 28 hingga 40 tahun.

Beliau memberitahu, koleksi miliknya merangkumi gambar Kaabah pada zaman Nabi Ibrahim, replika pedang Nabi Muhammad SAW dan Saidina Ali Abi Talib, contoh tulisan al-Quran ketika zaman Saidina Abu Bakar As Siddiq dan Sai­dina Uthman Affan, sebahagian daripada kain kelambu Kaabah tahun 1970 yang asli dan lebih 50 keping gambar sejarah Mekah dan Madinah serta ibadat haji sebelum 1955.

“Selain itu, saya turut me­ngumpulkan 60 keping tulisan khat yang berbeza kaligrafi seperti Sulus, Nasakh, Kufi dan Parsi,” katanya.

Ahmad yang pernah menyandang jawatan Yang Dipertua Persatuan Seni Khat Kebangsaan Cawangan Negeri Kedah dari 2003 hingga 2008 berkata, beliau mempunyai lebih 100,000 koleksi bahan atau sejarah yang rata-ratanya dikumpulnya ketika menetap di Arab Saudi dan Mesir.

“Pengalaman menyaksikan sendiri transformasi yang berlaku di Mekah, Madinah dan beberapa bandar sekitar tanah suci membolehkan saya mereka secara terperinci model topografi bandar Mekah,” katanya.

Menurutnya, model tersebut sering dijadikan sebagai pame­ran di beberapa lokasi termasuk di pusat pengendalian kursus haji dalam negara.

“Ini adalah usaha saya dalam memberi pendedahan tentang gambaran awal me­ngenai kedudukan kota Mekah, Madinah, Arafah, Muzdalifah dan Mina sebagai pengetahuan mereka sebelum berangkat ke sana untuk menunaikan haji.

“Selain itu, saya juga mempunyai gambar transformasi Kaabah dari zaman Nabi Muhammad SAW sehingga pada zaman kini, model telaga zam zam, model susunan rumah isteri Rasulullah yang pertama Saidatina Khatijah di Mekah serta rumah isteri baginda yang lain, model Bukit An Nur yang menempatkan ‘Gua Hira’ dan Bukit Thur,” katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata, semua koleksi miliknya terpaksa di simpan di bengkel khat yang ruangnya kecil kerana ke­suntukan kewangan bagi mendapatkan kedai atau stor yang luas dan berharap ada insan atau organisasi yang akan meneruskan legasi yang dimulakan sejak sekian lama untuk manfaat generasi akan datang.

“Saya berhasrat untuk mendapatkan ruang lebih besar untuk menempatkan bahan sejarah ini akan rosak suatu hari nanti jika tidak dijaga dengan elok.

“Bahan ini dapat memberi pendedahan yang cukup kepada masyarakat dalam menge­tahui peninggalan dan warisan yang ditinggalkan sahabat Nabi Muhammad SAW,” katanya.