Dengan berlatarbelakangkan sawah padi, jentera tersebut sudah pasti mampu menjadi tarikan terbaharu kepada pelancong yang berkunjung ke daerah dan negeri ini.

Malah sehingga kini, lokasi itu menjadi tarikan ramai pengunjung dari Perlis, Pulau Pinang dan Perak yang tidak melepaskan peluang untuk mengabadikan kenangan di atas jentera berkenaan apatah lagi semasa musim cuti persekolahan.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul menyifatkan mercu tanda yang dibina Majlis Perbandaran Sungai Petani itu merupakan idea di luar kotak pemikiran.

“Walaupun nampak ringkas, tetapi ia mampu memperkenalkan identiti setempat masyarakat di sini. Justeru, saya berharap agar majlis daerah lain di seluruh Kedah dapat membina replika yang memperkenalkan identiti setempat kita,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.