Sambil menyifatkan pengumuman itu seperti dentuman guruh di musim kemarau, Timbalan Pesuruhjayanya, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pihaknya bimbang sekiranya kerajaan tersalah meletakkan aulawiyat atau keutamaan rakyat dalam perkara itu.

“Jika kerajaan Persekutuan ada peruntukan sebesar itu, kenapa tidak dahulukan projek infrastruktur bekalan air yang kritikal sejak lebih 10 tahun lalu, lima buah loji rawatan air (LRA) dan jajaran paip yang sangat diperlukan untuk menyelamatkan Kedah daripada menghadapi krisis bekalan air hanya memerlukan RM1.7 bilion.

“Jika ada RM3.2 bilion dalam poket Putrajaya untuk diberikan kepada Kedah, kenapa projek kemudahan asas terpenting untuk rakyat tidak ada dalam senarai mereka. Jangan-jangan semua projek RM3.2 bilion itu adalah projek inisiatif pembiayaan swasta (PFI) yang orientasinya adalah swasta, perniagaan dan keuntungan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan tujuh projek termasuk pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dan Lebuh Raya Koridor Utara yang akan dilaksanakan bagi menarik pelaburan sekali gus menjana pendapatan kerajaan negeri.

Tambah Muhammad Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, sebahagian besar rakyat terutamanya yang tidak dapat mandi dan mencuci pakaian di Merbok, Singkir, Bukit Tembaga, Baling dan beberapa lokasi lain pasti tertanya-tanya dan terpinga-pinga dengan pengumuman itu.

“Keseluruhan infrastruktur air sedang ‘diperah’ bekerja sehingga 120 peratus daripada kapasiti keupayaan sebenar, menanti masa skru tertanggal. Itupun sebahagian rakyat Kedah terpaksa menjerit untuk mendapat bekalan air bersih.

“Manakala, Hospital Pendang dan Bandar Baharu sudah berpuluh tahun dijanjikan... Orang Pendang menunggu sejak janji pertama pada 2002. Malah, penduduk Kedah Selatan sebahagiannya menjadi rakyat Perak dan Pulau Pinang gara-gara bersalin di Hospital Parit Buntar, Taiping atau Seberang Jaya,” katanya.

Beliau yang menegaskan bukan seorang yang ‘antiperniagaan’’ dan mengalu-alukan projek besar untuk kemajuan ekonomi negeri meminta rakyat menunggu pula pengumuman projek bekalan air sebelum Jun tahun depan sama ada wujud atau sebaliknya.

“Sementara itu, pandai-pandailah rakyat tadah air daripada lori tangki,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Sanusi turut menimbulkan persoalan sama ada projek KXP akan menjadi realiti atau tidak seandainya Menteri Pengangkutan, Anthony Loke tidak bersetuju ia dibangunkan berikutan terdapat bantahan dari kerajaan Pulau Pinang.

“Pembangunan Hab Taman Industri Pembuatan dan Logistik di Sidam adalah komponen KXP, jika KXP lepas, barulah projek ini pun jalan tetapi persoalannya bila? Manakala, projek Perpustakaan Digital yang sangat berguna untuk masyarakat, pelajar dan institusi pendidikan adakah ia percuma atau berbayar,” soalnya lagi. - UTUSAN ONLINE