Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd. Rozi Jidin berkata, Kuala Kedah dipilih sebagai kampung angkat bagi fasa ketiga berikutan kawasan tersebut mencatatkan kes tangkapan dan penglibatan dadah yang tinggi terutamanya dalam kalangan nelayan.

“Program kampung angkat ini telah dijalankan pada fasa pertama dan kedua di Pokok Sena, melibatkan Kampung Budi dan Kampung Keda Batu 13 dan hasilnya sangat memberangsangkan apabila aktiviti pengedaran dadah di kawasan terbabit bersih 100 peratus.

“Kita berhasrat untuk me­laksanakan model yang sama di Kuala Kedah pada tahun hadapan dan membersihkan kawasan Kuala Kedah daripada terus dilabel sebagai kawasan positif dadah.

“Namun setakat ini kita ma­sih belum tentukan kawasan per­kampungan mana yang akan dijadikan kampung angkat,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas Program Kayuhan Bersama Ketua Polis Daerah Kota Setar di sini hari ini.

Menurutnya, Kuala Kedah ya­ng berada di antara sempadan laut menjadi antara faktor pe­nyumbang kepada aktiviti melibatkan dadah kerana penagih atau pengedar dadah menggunakan jalan laut untuk menjalankan aktiviti tersebut bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

Dalam perkembangan ber­kai­­tan, penyelaras Dewan Unda­ngan negeri(DUN) Kubang Rotan, Datuk Muthalib Harun berkata, pihaknya telah menubuhkan sa­tu jawatankuasa yang terdiri daripada Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) sebagai usaha untuk membanteras kegiatan tidak sihat itu.

“Kami mahu terlibat secara langsung dalam usaha mengekang penyalahgunaan dadah di kawasan kejiranan ini, selain menyalurkan maklumat kepada pihak polis,” katanya.

Tambahnya, jawatankuasa ter­sebut juga akan melihat situasi penagih tersebut bagi me­ngenal pasti punca penglibatan dengan najis dadah, selain memberikan bantuan kaunseling jika perlu.

“Kita berharap masyarakat setempat dapat sama-sama memainkan peranan dalam usaha ini kerana dengan kerjasama daripada semua pihak, saya pasti masalah dadah dapat dikekang daripada menjadi barah dalam masyarakat kita,” katanya.