Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, projek tersebut merupakan sesuatu yang ikonik di negeri ini yang bakal membuka dimensi baharu kepada pembangunan baharu negeri ini.

“Fasa pertama projek ini me­libatkan 92 unit kedai setingkat, 84 unit kedai dua tingkat, 12 unit kedai berkembar dua setengah tingkat dan enam blok apartmen perkhidmatan dijangka siap se­penuhnya pada 2021.

“Walaupun sebelum ini terdapat bantahan mengenainya, namun perkara itu berpunca daripada kebimbangan bahawa perhatian takkan diberikan kepada perumahan kos rendah dan sederhana. Namun daripada apa yang diumumkan syarikat hari ini, tanggungjawab ke arah itu tetap diberi perhatian,” katanya.

Beliau berkata demikian setelah menyempurnakan majlis pe­lancaran projek tersebut di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Permodalan Kedah Berhad, Abdul Rahman Din.

Projek tersebut melibatkan pelaburan bernilai RM1.2 bilion yang datangnya dari pembiayaan ahli-ahli perniagaan terdiri daripada anak-anak Kedah sendiri.

Mengulas lanjut katanya, kebajikan para nelayan yang sebelum ini turut membuat bantahan terhadap projek tersebut akan dipastikan terpelihara.

“Berkaitan masalah bekalan air dan banjir yang sering berlaku di sini pula, saya fikir sudah pasti pemaju mempunyai keyakinan tinggi terhadap pihak berwajib untuk menyelesaikan masalah itu.

“Saya lebih suka melihat semua masalah ini secara holistik daripada mencari penyelesaian satu per satu. Sebolehnya kami mahu supaya masalah itu diselesaikan sebelum projek ini siap dengan penduduk sekitar akan turut me­nerima manfaatnya,” katanya.

Mengulas isu lain, Mukhriz ber­kata, beliau memahami akan kekecewaan disuarakan Persatuan Pembalak Negeri Kedah (PPNK) terhadap keputusan kerajaan negeri membatalkan kelulusan kawasan pembalakan dan lesen mengambil hasil hutan di Hutan Simpan Ulu Muda baru-baru ini.

“Ada antara syarikat dan pemegang konsesi yang telah membayar premium dan bersedia untuk memulakan kerja namun kita telah membatalkan projek itu.

“Dari segi perundangan sudah tentu ada impaknya dan Penasihat Undang-Undang negeri sedang meneliti perkara itu. Kami sedar perkara itu dan akan berunding bersama syarikat terlibat,” katanya.