Iman yang merupakan inisiatif di bawah Bantuan Rakyat Kedah (Barakah) Pendidikan dan Modal Insan dengan kerjasama Persatuan Siswa Aman Makmur (Ansar) yang bertujuan memberi peluang kepada siswazah yang baru graduan menimba pengalaman kerja di samping memahami pentadbiran kerajaan negeri.

Seramai 1,052 anak Kedah memohon untuk menyertai program Iman yang pertama kali diperkenal pada tahun lalu sebelum 100 pemohon disenarai pendek untuk temu duga bagi memilih 25 peserta bertuah untuk mengikuti program selama enam bulan tersebut.

Timbalan Presiden Ansar, Azeem Azizi berkata, langkah ke­rajaan negeri memperkenalkan program itu begitu dekat di hati golongan siswazah yang sememangnya memerlukan tempat untuk menimba pengalaman se­­belum melangkah ke dunia pekerjaan yang sebenar. 

“Dalam pertemuan Ansar bersama Ahmad Bashah selepas beliau menjadi Menteri Besar, soal peluang untuk mahasiswa menjalani internship bersama kerajaan negeri telah kami suarakan.

“Apabila Menteri Besar me­ngambil serius pendapat kami dan menjadikannya sebagai salah satu program Barakah, pastinya kami gembira kerana mempunyai Menteri Besar yang memahami denyut nadi golongan mahasiswa seperti kami,” katanya di sini hari ini.  

Sementara itu, graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohammad Naim Azuddin, 23, berkata, dia terpilih sebagai peserta Iman memberi peluang dirinya untuk mencuba sesuatu yang baharu berbanding apa yang dipelajarinya di universiti.

Pada masa sama, katanya, dia yakin Program Iman mampu menyediakan platform buat dirinya mendapat kerja bersama kerajaan negeri mahupun anak syarikat milik kerajaan negeri. 

“Saya merupakan siswazah jurusan perakaunan. Apabila tahu mengenai program ini, saya tidak teragak-agak untuk menghantar permohonan kerana tidak mahu melepaskan peluang untuk mendapatkan pengalaman kerja.

“Siapa sangka topik belia yang saya karang membolehkan saya disenarai pendek sebagai 100 calon peserta Iman. Saya teruja apabila dipilih tetapi pada masa sama berasa gementar kerana tidak mempunyai pengalaman menghadiri temu duga.

“Namun saya membuat persediaan dengan mendapatkan panduan di internet dan ter­nyata rezeki berpihak kepada saya apabila temu duga tersebut banyak berkisar tentang karangan yang dihantar ketika menyertai Program Iman dahulu,” katanya.

Bagi seorang lagi peserta, Muhammad Muzakkir Nur Mubin, 24, ber­kata, Program Iman yang disertai­nya bukan sahaja memberi peluang kepada sis­­wazah untuk mendapatkan pengalaman bekerja de­ngan kerajaan ne­geri malah tu­­rut membantu menyerlah potensi peserta.

“Sepanjang menjadi internship, kami juga diberikan Kursus Pengukuhan Iman yang bertujuan membentuk jati diri, semangat bekerja berkumpulan dan kepemimpinan. Selain itu, kami juga diberikan kursus mengenai ketrampilan diri semasa bekerja yang disampaikan Institut Pengurusan dan Integriti Negeri Kedah Darul Aman (INSPIN).

“Walaupun hanya bergelar internship yang ditempatkan di pejabat Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin tetapi saya diberikan kepercayaan untuk menganjurkan program TN50 di setiap daerah. Pada saya, itu adalah tugas mencabar tetapi pada masa sama memboleh­kan saya membukti­kan keupayaan diri,” katanya yang mengambil jurusan Sains Politik di Universiti Terbuka Malaysia (OUM).