Pengurus Econsave Taman Petani Jaya, Saparin Abu Seman berkata, pihaknya tampil menghulur bantuan bernilai RM1,000 berupa barang makanan, alatan elektrik dan lain-lain melalui Dana Econsave Prihatin 2018.

“Selepas selesai menjalani rawatan di bahagian belakang kepala di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani, baru-baru ini, Ros dibenarkan pulang ke rumah.

“Apa yang menyedihkan, kaki sebelah kiri dan tangan sebelah kanannya tidak lagi berupaya untuk bergerak seperti biasa, lagipun dia juga ada masalah pe­nyakit kencing manis,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Saparin berkata, bantuan yang disampaikan Pengurus Be­sar Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor, sedikit seba­nyak menceriakan seluruh ahli ke­luarga berkenaan.

Isterinya, Fadzilah Tahar, 39, pula berkata, dia yang bekerja di sebuah kilang di Prai, Pulau Pinang terpaksa mengambil cuti sehingga 27 Ogos ini kerana mahu menjaga suaminya yang kini hanya terlantar di rumah akibat penyakit itu.

“Dalam masa sama, katanya dia juga menguruskan anak-anaknya iaitu Tasnim, 17, belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Kuala Muda; Nurul Jannah, 15, (SMK Kota Kuala Muda); Mohd. Firdaus, 13, (SMK Kota Kuala Muda); Solihin 10, (Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Kechil) dan Nur Hidayatul Ramadhan, 7, juga di SK Bukit Kechil di sini.

“Terima kasih kepada pihak Econsave Taman Petani Jaya, Sungai Petani kerana menghulurkan bantuan makanan dan lain-lain bernilai RM1,000 itu,” katanya.

Utusan Malaysia pernah menyiarkan masalah dihadapi Ros pada 3 Ogos lalu berkaitan bumbung rumahnya yang reput dan bocor, tandas rosak, pintu ma­suk rumah utama tiada dan tingkap tidak ada cermin.

Fadzilah berkata, hasil keprihatinan orang ramai, keadaan rumahnya dibaiki hasil gotong-royong dan kesihatan suaminya kian bertambah baik tetapi perlu menjalani rawatan susulan di HSAH Sungai Petani dari semasa ke semasa.