Dakwa penduduk, kerja-kerja tersebut sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu dan pernah dihentikan, namun kembali beroperasi sejak pertengahan tahun lalu sehingga membimbangkan mereka.

Penduduk, Omar Nordin, 52, mendakwa, jarak asal rumahnya yang dahulu sejauh 20 meter kini sudah tinggal hanya tujuh meter selepas tebing sungai sepanjang satu kilometer di situ, mula terhakis.

Sehubungan itu, katanya, dia sekeluarga kini berasa tidak selamat dengan keadaan itu kerana khuatir lama-kelamaan rumah­nya runtuh ke dalam sungai.

“Dua batang pokok kelapa di tepi rumah saya kini hampir tumbang dan hanya bertahan dengan akarnya, manakala beberapa pokok lain sudah diha­nyutkan arus sungai sebelum ini.

“Hakisan tebing semakin ke­tara apabila musim hujan kerana ia lebih cepat merekah disebabkan kerja-kerja mengorek pasir di sungai ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Selain penduduk di Kampung Raja, jiran mereka di Kampung Seberang Ketil, Kampung Pekan Khamis, Kampung Belakang Panggung, Kampung Belakang Sekolah dan masjid Pekan Kupang, juga turut terjejas.

Sementara itu, Liyana Ismail, 35, berkata, jalan tar yang digunakan penduduk juga telah rosak ekoran dilalui lebih 50 buah lori hampir setiap hari untuk mengangkut pasir daripada aktiviti itu.

“Jalan tar dah pecah dan kini hanya tinggal batu, apabila musim kemarau kami terdedah kepada habuk dan debu pula. Tak tahu nak buat apa sebab kalau nak pindah dah tiada tanah lain kecuali di sini yang saya diami sejak kecil,” ujarnya.

Bagi Daniel Abu Bakar, 50, pula, bahagian dapur rumah­nya turut mengalami keretakan gara-gara projek berkenaan sehingga dia terpaksa mengambil inisiatif memacak buluh-buluh di tebing sungai bagi mengelak masalah bertambah serius.

“Rumah-rumah jiran juga mengalami masalah sama, dah beberapa kali kami simen semula bahagian yang retak tapi tak lama kemudian retak lagi, sampai bila hendak macam ini,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Kehormat Pertubuhan Kebajikan Penduduk Daerah Baling (Perkeba), Mohd. Nazry Bidin meminta agensi berkaitan tampil menyelesaikan masalah itu sebelum kejadian yang lebih teruk berlaku.

“Tolonglah datang lihat perkara ini, kita tidak mahu nyawa penduduk pula yang tergadai disebabkan aktiviti ini. Dua ming­gu lalu wakil daripada pejabat wakil rakyat ada datang melihat, tapi sehingga kini tiada sebarang perkembangan dimaklumkan kepada kami,” katanya.