Naib Pengerusi Kanannya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, menerusi langkah itu juga diharap dapat menyalurkan maklumat mengenai fungsi dan peranan kedua-dua pihak di samping memberi kesedaran kepada masyarakat, terutama golongan belia agar menghargai nilai kebebasan.

Menurut beliau, masyarakat memainkan peranan yang sangat penting untuk memastikan bekas banduan pulih sekali gus menyelesaikan masalah jenayah berulang melibatkan golongan berkenaan.

“Berilah mereka peluang kedua, jangan sisih bekas banduan tetapi sebaliknya dekatilah mereka. Pelbagai cara untuk menangani serta memulihkan banduan telah dilakukan dan oleh yang demikian, masyarakat tidak perlu risau dengan stigma banduan.

“Bagi pihak MCPF, kita telah mewujudkan beberapa jawatankuasa tetap bagi mengendalikan program-program pencegahan jenayah dan salah satu daripadanya adalah Jawatan Kuasa Tetap Pemulihan Banduan. Ini menunjukkan betapa kita memberi tumpuan terhadap perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Program Temuseru Jabatan Penjara dengan kerjasama MCPF yang julung-julung kali diadakan di Kompleks Sukan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) di sini, hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman yang telah merasmikan program itu.

Menurut Lam Thye, Program Temuseru di antara Jabatan Penjara dan MCPF, adalah program yang berimpak tinggi kerana menerusinya, MCPF dapat menyampaikan maklumat kepada masyarakat untuk tidak melakukan jenayah manakala Jabatan Penjara pula mencegah masyarakat daripada menjadi penghuni penjara.

“Jadi, kedua-dua pihak saling berhubung antara satu sama lain dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat luar,” katanya lagi. - UTUSAN ONLINE