Ketua Bahagian Dakwah dan Penyelidikannya, Abdul Hadi Abdul Majid berkata, beliau percaya sasaran itu mampu dicapai dengan bantuan 651 orang Penolong Amil LZNK.

Katanya, sebelum ini, pihak berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan Penolong Amil LZNK dalam mengagih-agihkan bantuan kepada kira-kira 9,000 orang penerima zakat.

“Mulai tahun ini, bilangan penerima zakat di negeri ini mencecah seramai 17,375 orang.

“Maka sebab itu, Penolong Amil LZNK yang dilantik perlu menjalankan tugas dengan ikhlas dan mematuhi setiap garis panduan diberikan bagi memastikan penyaluran zakat berjalan lancar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pertauliahan Penolong Amil LZNK Daerah Kuala Muda 2019 di sini, hari ini.

Yang turut hadir Penolong Pengurus Bahagian Dakwah dan Kutipan LZNK Daerah Kuala Muda, Firdaus Md. Akhir dan Penolong Pengurus Agihan dan Pembangunan Asnaf LZNK Daerah Kuala Muda, Syazwi Yusof.

Menurut Abdul Hadi, pada tahun lepas sebanyak RM173 juta bantuan zakat telah dapat diagih-agihkan kepada penduduk di negeri ini.

“Dalam hal ini, LZNK merancang untuk mengadakan beberapa aktiviti menarik termasuk memperkenalkan program Jom Sedekah dan pelancaran Klinik Wakaf pada September nanti,” katanya lagi.

Sementara itu, seorang penerima tauliah tersebut, Che Sa Ahmad dari Kariah Masjid Sultan Abdul Halim Batu 2 Jalan Kuala Ketil berkata, pihaknya akan melakukan kerja-kerja diberikan oleh LZNK dengan amanah bagi membolehkan golongan susah di kawasannya mendapat bantuan itu dengan mudah.

Menurutnya, bagi menjayakan matlamat berkenaan, kerjasama daripada pihak-pihak tertentu amat diperlukan. - UTUSAN ONLINE