Seperti 14 edisi sebelum ini, pertunjukan udara dan de­mons­trasi maritim sentiasa men­jadi acara yang ditunggu-tunggu oleh pengunjung bagi kedua-dua segmen tersebut terutamanya peminat ketenteraan yang juga terdiri daripada pelancong asing.

Kawasan sekitar Pusat Pame­ran Antarabangsa Mahsuri (MI­EC) dan Resorts World Langka­wi (RWL) menjadi tumpuan orang ramai membawa keluarga masing-masing untuk menyak­sikan acara dwitahunan itu apa­tah lagi ketika musim cuti persekolahan.

Kehebatan pesawat-pesawat tempur Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) seperti Sukhoi, Hawk dan F/A-18 Hornet beraksi di langit Pulau Langkawi melakukan persembahan aerobatik dan maneuver, jelas memukau pengunjung, di samping jet pejuang tentera udara negara lain.

Malah, penyertaan pertama kali dua buah pesawat supersonik Tejas daripada Tentera Udara India (IAF) juga menarik perhatian pengunjung kerana pesawat tempur ringan (LCA) itu dibangunkan hampir sepenuhnya oleh jurutera negara tersebut.

Dalam segmen maritim di RWL pula, gabungan pertama kali agensi penguatkuasaan maritim juga tidak kurang hebatnya yang berganding bahu melaksanakan pameran statik serta demonstrasi penyelamatan tahap tinggi.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga individu yang bertanggungjawab membawa pameran antara ter­ulung di dunia ke Pulau Langkawi turut menyifatkan LIMA ‘19 merupakan edisi paling berjaya setakat ini.

Penanda aras kejayaan itu sudah tentu melibatkan jumlah kehadiran pelawat perdagangan dan awam yang mencatatkan angka tertinggi berbanding edisi-edisi terdahulu.

Namun, paling penting adalah nilai perdagangan yang ter­meterai sepanjang LIMA ‘19 iaitu mencecah RM4 bilion.

Walau bagaimanapun, di sebalik kemeriahan LIMA ‘19, ada juga pengunjung yang kecewa kerana tiada pesawat tanpa pemandu (UAV) atau dron yang diterbangkan dalam pameran itu biarpun sudah dijadualkan pada hari ketiga LIMA ‘19.

Warna-warni LIMA ‘19 juga te­rus rancak dengan pengena­lan model kereta terbang oleh sebuah syarikat sehingga menjadi usikan warganet.

Kemunculan Vector itu hampir-hampir menenggelamkan LI­MA ‘19 secara keseluruhan eko­ran menjadi tajuk-tajuk utama yang dilaporkan pihak media.

Tetapi, secara keseluruhan ju­ga LIMA ‘19 tetap menjadi kebanggaan negara.