MUKHRIZ TUN MAHATHIR

Sehubungan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, pihaknya tidak mempunyai rancangan untuk membatalkan projek ladang hutan dalam hutan simpan kekal di Bukit Enggang yang diluluskan Majlis Tanah Negara pada 2012.

“Kerajaan negeri mewarisi sepenuhnya apa jua keputusan dibuat kerajaan negeri terdahulu. Ini bukan alasan tapi keputusan terdahulu mengakibatkan apa yang berlaku hari ini.

“Projek (gondol hutan) dibuat pada 2012, jadi tanggungjawab kerajaan negeri sekarang adalah memastikan penanaman semula dijalankan kerana kerja-kerja pembalakan hutan di kawasan tersebut telah selesai,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan tambahan Mohd. Isa Shafie (Pas-Belantek) mengenai keputusan ke­rajaan negeri sama ada untuk membatalkan projek menggondolkan hutan di Bukit Enggang.

Mukhriz berkata, tujuan asal projek tersebut untuk mewujudkan ladang hutan, jadi satu kerugian kepada kerajaan negeri sekiranya hutan yang digondolkan tidak ditanam semula.

“Saya mendengar apa yang (ahli dewan undangan negeri) Belantik bangkitkan yang mana musibah (kepada penduduk setempat) berulang kembali selepas tanaman semula tersebut membesar dalam 15 tahun lagi.

“Perkara ini harus ditimbangkan juga tapi saya tidak nampak cara meneruskan projek penanaman semula. Kalau dirancang dahulu tidak jadi kenyataan, masalah banjir lumpur tidak selesai apabila berlaku hujan lebat. Jadi saya cadangkan projek ini diteruskan,” katanya.

Terdahulu menjawab soalan Mohd. Isa, Mukhriz memberitahu, kerajaan negeri telah meluluskan seluas 1,000 hektar di Hutan Simpan Bukit Enggang untuk tujuan pembangunan ladang hutan dan kawasan berkenaan mendapat kelulusan EIA.

“Status kerja-kerja mengusahakan hasil di kawasan Hutan Simpan Bukit Enggang telah dijalankan dan dalam proses penanaman semula pokok daripada spesies batai,” katanya.