Ini kerana, anak sulung kepada pasangan Abdul Hamid Yunus, 57, dan Zaiton Ismail, 57, itu pernah bekerja sambilan di sebuah pasar raya besar di Lembah Klang dan mencarum di Perkeso.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, ibu bapa Norwahidah menerima faedah pengurusan jenazah sebanyak RM2,000, selain setiap daripada mereka akan mendapat pencen penakat sebanyak RM139.58 sebulan sepanjang hayat.

“Skuad Perkeso Prihatin yang membuat semakan mendapati Allahyarham yang merupakan kakitangan JPN sejak tahun 2012 turut membuat kerja sambilan di sebuah pasar raya besar.

“Allahyarham mempunyai caruman Perkeso sehingga Mac tahun lalu, justeru melayakkan keluarganya menerima faedah pengurusan jenazah dan faedah pencen penakat,” katanya selepas menyampaikan cek pengurusan jenazah kepada Abdul Hamid dan Zaiton di Kampung Baru Tepi Laut, Ayer Hitam di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Perkeso Kedah, Mamsor Abdul Manaf dan Pengarah Perkeso Perlis, Mohd. Asri Mohd. Rasid.

Dalam pada itu, Abdul Hamid melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Perkeso apabila dia dan isteri layak menerima faedah daripada Perkeso.

“Pihak keluarga tahu arwah ada melakukan kerja sambilan sepanjang dia bertugas di JPN,” katanya.

Ketika ditanya berhubung kes kematian Norwahidah yang diklasifikasikan sebagai kes bunuh, Abdul Hamid enggan mengulas mengenai perkara tersebut. -UTUSAN ONLINE