AZMAN NASRUDIN
AZMAN NASRUDIN 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pengangkutan dan Industri Utama negeri, Azman Nasrudin berkata, langkah itu bermaksud hanya satu operator yang menjual kese­mua tiket bas bagi semua pengusaha dan laluan seperti dilaksanakan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di ibu negara.

Menurutnya, sistem tersebut juga secara tidak langsung dapat membanteras kes penipuan membabitkan jualan tiket yang dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab seperti ulat tiket.

“Perkara ini sudah dibincangkan sejak sekian lama kerana banyak aduan dan laporan daripada pengguna diterima sepanjang mereka menaiki bas ekspres seperti ditipu, tiket tidak sah dan sebagainya.

“Jadi, kita memutuskan untuk melaksanakan CTS bermula di Sungai Petani pada 1 April ini, sebelum diikuti di Terminal Bas Shahab Perdana di Alor Setar dan Terminal Bas Kulim serta lokasi lain secara berperingkat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Azman berkata, Darulaman Solution Sdn. Bhd. (DSSB) yang merupakan anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dilantik sebagai operator tunggal bagi mengendalikan penjualan tiket berkenaan di terminal tersebut.

Katanya, terdapat beberapa kaunter mengikut laluan seperti ke Lembah Klang, Selatan dan Pantai Timur akan dibuka untuk pelaksanaan CTS berkenaan yang melibatkan kira-kira 40 pengusaha bas yang beroperasi di negeri ini.

“Malah, beberapa syarikat bas atau pengusaha telah melaksanakan penjualan tiket secara dalam talian yang memudahkan pengguna membeli tiket masing-masing, kita juga akan membangunkan aplikasi penjualan mengikut kaedah itu tidak lama lagi.

“Pengusaha tiada masalah dengan pelaksanaan sistem ini dan kerajaan negeri juga perlu melihat rungutan masyarakat yang menggunakan bas ekspres ekoran sering ditipu, tidak cekap dan sebagainya,” katanya.