Kad pintar debit yang diper­kenalkan menerusi program Recycle for Life (RFL) itu merupakan program rintis dilaksanakan di Malaysia yang mendapat kebenaran daripada Bank Negara Malaysia dan E-Idaman merupakan syarikat konsesi yang menjadi pelopor program tersebut.

Antara objektif pelaksanaan program tersebut adalah memberi kembali nilai kepada buangan sisa pepejal boleh dikitar semula kepada pengguna iaitu melalui kad pintar debit yang boleh digunakan sebagai medium pembayaran kepada keperluan harian penggunaan selain meningkat kesedaran pengguna dalam menurunkan kadar buangan sampah setiap hari.

Ketua Pegawai Eksekutif E-Idaman, Mhd. Saiful Anuar Zainal berkata, program RFL dianjurkan bagi meningkatkan amalan kitar semula dalam kala­ngan penduduk di kawasan seliaan yang meliputi dua negeri iaitu Kedah dan Perlis, di samping mengurangkan kebergantungan terhadap penggunaan tapak pelupusan sampah.

“RFL adalah satu program kitar semula yang memberi ganjaran nilai tunai menerusi kad pintar. Kad pintar itu boleh digunakan serta-merta di premis perniagaan yang menjadi rakan usahawan dan potensi usahawan RFL di negeri ini seperti pasar raya Giant, The Store, C Mart, Syarikat Air Darul Aman (SADA) dan Tenaga Nasional Bhd.,” katanya ketika ditemui di Wisma Idaman, di sini baru-baru ini.

Menurutnya, program tersebut yang dibangunkan dengan mendapat kerjasama beberapa agensi kerajaan dan swasta, termasuk Kumpulan Cenviro serta MyKasih Foundation itu dapat menambah nilai dalam memupuk sifat keusahawanan terutamanya dalam kalangan generasi muda.

“Barangan kitar semula yang dihantar kepada pihak E-Idaman akan diberi ganjaran nilai tunai mengikut harga pasaran semasa termasuk kotak, surat khabar lama, kertas, plastik, aluminium, tin dan besi,” katanya.

Mhd. Saiful Anuar berkata, program tersebut dirangka daripada pengalaman selama lebih sembilan tahun dalam me­nguruskan sisa pembuangan di utara tanah air dengan penekanan kepada konsep 3R iaitu kurangkan, guna semula dan kitar semula.

“Pada peringkat permulaan, semua kakitangan E-Idaman diwajibkan membawa sekurang-kurang­nya enam kilogram bahan kitar semula setiap minggu dan ia dilihat seperti paksaan. Namun, selepas dua tahun pelaksanaan, perkara ini telah menjadi budaya bagi mereka dan sekarang ada yang bawa lebih tujuh kilogram bahan kitar semula setiap minggu.

“Kita juga ingin mengurangkan jumlah sampah di tapak pelupusan sampah di mana janaan sampah di Kedah adalah sebanyak 1,400 tan sehari manakala peratusan kitar semula hanya 12 peratus dan jumlah itu sangat rendah,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mhd. Saiful Anuar berkata, program itu turut mensasarkan kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk komuniti, agensi kerajaan dan swasta.

“Setakat ini, pihak E-Idaman telah merangka kerjasama dengan agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Imigresen Malaysia dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini untuk meluaskan lagi pelaksanaan program ini demi kebaikan bersama,” jelasnya.

Beliau berkata, di peringkat komuniti, kad-kad tersebut dipegang oleh individu tertentu yang dilantik seperti guru besar atau ketua kelab kitar semula di sekolah untuk menjalankan jual beli.

“Namun, kita sasarkan pa­da masa akan datang, setiap masyarakat berpeluang untuk menjual sendiri barangan kitar semula di lori kutipan E-Idaman atau membawanya ke pusat pengumpulan yang disediakan.

“Nilai jualan akan dimasukkan di dalam kad masing-masing. Peluang ini turut melibatkan ahli-ahli jawatan kuasa penduduk, masjid dan surau yang bertanggungjawab terhadap sangkar-sangkar kitar semula yang kita sediakan,” katanya.

Tambah beliau, harga barangan kitar semula yang dijual adalah mengikut harga pasaran dan berbeza mengikut jenis iaitu sama ada plastik, kertas atau kaca.

Dalam perkembangan berkaitan, Mhd. Saiful Anuar berkata, dalam masa terdekat, pihaknya akan menandatangani perjanjian usaha sama dengan semua PBT di seluruh negeri sebagai usaha bagi meningkatkan lagi kesedaran terhadap kempen kitar semula yang dijalankan.