Kejadian kira-kira pukul 11 malam itu berlaku ketika mangsa, Halifah Othman, 47, keluar membuang sampah di tepi rumah sebelum diserang ular sawa sepanjang enam meter dengan berat lebih 30 kilogram itu.

Berikutan itu, mangsa menjerit meminta tolong sebelum dua anak lelaki wanita tersebut iaitu Mohd. Rasul Abdullah, 16, dan Mohd. Aziz, 15, datang cuba membantu melepaskan belitan reptilia berkenaan dengan menarik ekornya.

Bagaimanapun, usaha dua remaja tersebut gagal sebelum mereka meminta bantuan jiran-jiran yang datang menetak haiwan tersebut dengan parang serta melepaskan belitan berkenaan.

Ular sawa di Baling, Kedah

SEEKOR ular sawa batik sepanjang enam meter membelit seorang ibu tunggal, Halifah Othman sehingga paras pinggang di pekarangan luar rumahnya di Kampung Ulu Tawar Tengah, Mukim Bakai, Baling, Kedah semalam. - UTUSAN ONLINE

Mangsa yang cedera pada bahagian kaki, tangan dan kepala akibat gigitan reptilia tersebut kemudian dikejarkan ke Hospital Kulim untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Mohd. Rasul berkata, dia bersyukur ibunya selamat dalam kejadian tersebut selain berterima kasih kepada jiran-jiran yang membantu.

“Pada masa ini, ibu masih kelihatan trauma dan lemah selepas kejadian berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Baling, Leftenan Mohd Faizol Ab. Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 11.30 malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, mangsa telah dibawa ke Hospital Kulim oleh orang awam dan ular telah dibunuh oleh penduduk kampung ketika mahu menyelamatkan mangsa.

“Kawasan rumah mangsa yang terletak berdekatan dengan paya menjadi antara faktor ular sawa menghampiri rumah,” katanya.- UTUSAN ONLINE