Begitulah kesukaran hidup terpaksa ditempuh ibu tunggal yang terpaksa bergantung kepada upah menjahit kira-kira RM200 sebulan untuk membesarkan empat anaknya.

Menurut tukang jahit, Kalsom Mohamed @ Ahmad, 42, upah menjahit yang diterima itu digunakan untuk menanggung empat anaknya yang berusia antara 16 hingga enam tahun masih bersekolah manakala anak sulungnya, Mahfuzah Muhamad Zohir, 18, pula akan menyambung pengajian di sebuah universiti awam tidak lama lagi.

“Pada bulan Ramadan lalu, saya mendapat tempahan yang lebih banyak namun kebiasaannya, upah menjahit diterima tidak sampai RM200 sebulan kerana dia hanya mengenakan bayaran RM30 sehelai.

“Bukan tidak mahu mencari pekerjaan lain namun saya perlu menghantar dan mengambil anak-anak ke sekolah yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah dengan menggunakan motosikal.

“Saya juga pernah ke kilang di Jitra untuk mengambil upah menjahit namun mereka tidak membenarkan kain tersebut dibawa pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Kampung Tanjung Inggeris Hujung Langgar, di sini baru-baru ini.

Kalsom berkata, bukan sahaja mereka perlu berjimat cermat soal makan malah lebih me­runsingkan apabila bil elektrik dan air juga tertunggak hampir setahun dan hanya menunggu masa untuk dipotong.

Wanita itu memberitahu, ketiadaan surat perakuan cerai menyebabkan dia sukar untuk mendapatkan bantuan dan hanya tiga anaknya mendapat bantuan persekolahan sebanyak RM100 setahun daripada pihak zakat.

“Saya diceraikan talak tiga selepas habis berpantang anak bongsu kira-kira enam tahun lalu namun disebabkan saksi merupakan anak sulung saya masih belum akil baligh, maka talak itu tidak diterima. Sudah hampir enam tahun juga saya turun naik mahkamah untuk menuntut fasakh bagi mendapatkan surat perakuan cerai,” jelasnya.

Orang ramai yang ingin memberi bantuan boleh menghubungi Kalsom di talian 011-21093876 atau sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) di nombor 02100-41-00031188-5.