Ibu kepada dua anak itu, Norshila Abhad berkata, dia mula menjalankan perniagaan takoyaki pada April 2015 selepas menyedari potensi snek makanan Jepun tersebut terutama sekali apabila ia masih belum menembusi pasaran di Alor Setar ketika itu walaupun mempunyai permintaan tinggi.

“Selepas berpisah dengan suami, saya berazam untuk menja­lankan perniagaan kerana sebelum ini saya hanya bergelar suri rumah. Menyedari potensi takoyaki, saya menyertai kelas untuk mempelajari cara membuat snek popular tersebut.

“Apabila berjaya menguasai cara membuat takoyaki, saya memberanikan diri menjalankan perniagaan snek tersebut dengan menggunakan Facebook sehingga hari ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurutnya, permintaan ter­hadap takoyaki yang dijual me­ningkat dari sehari ke sehari mungkin kerana sos yang diolah daripada resipi asal mendapat pujian daripada kebanyakan pelanggan setianya.

“Terdapat pilihan inti takoyaki seperti sotong, udang, ayam mahupun fillet ketam, namun bergantung kepada permintaan pelanggan. Kebiasaannya apabila membuka tempahan takoyaki di Facebook, saya hanya membuat takoyaki berintikan fillet ketam.

“Ini kerana bagi mengelakkan kekeliruan kerana setiap hari, saya mendapat tempahan antara 30 bungkus hingga 40 bungkus setiap hari. Selain takoyaki, saya juga turut menjual okonomiyaki, makaroni keju, set dulang western serta mi ramen,” katanya.

Kata Norshila, dia pernah mem­buka kedai bersama rakannya untuk menjalankan perniagaan takoyaki tersebut, namun disebabkan tempahan bagi penghantaran juga tinggi membuatkan dia kembali menjualnya dari rumah sahaja.

Sesiapa berminat untuk merasai keenakan takoyaki Norshila yang dijual pada harga RM10 bagi setiap bungkus (12 biji takoyaki) manakala caj penghantaran pula sebanyak RM3, boleh melayari Facebook Shila Ars atau hubungi 011-10902150.