Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehudin Sultan Badlishah bertitah, persaudaraan antara kedua-dua kaum berkenaan di bawah satu pengukuhan wajar dijadikan agenda muafakat rakyat hari ini.

“Renunglah nilai perjuangan kedua-dua kaum ini. Integrasi golongan itu membentuk kesatuan yang kukuh dan mewujudkan agenda muafakat demi membantu Nabi Muhammad SAW mengembangkan agama Islam.

“Realiti kaum Muhajirin tidak memiliki apa hanya sehelai sepinggang dan meninggalkan harta benda serta saudara mereka, Ansar adalah penduduk Islam di Madinah yang berjiwa penya­yang dan kasihkan saudaranya. Penyatuan kedua-dua kaum ini wajar memberi inspirasi kepada umat Islam hari ini,” titah Tunku Temenggong dalam Sambutan Maal Hijrah 1438 Peringkat Kedah di Dewan Seri Negeri Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Bakar Din serta le­bih 1,000 umat Islam.

Bertitah lanjut, kata Tunku Sallehudin, pengertian Maal Hijrah yang luas dan tidak susut untuk digali itu juga wajar dihayati semua umat Islam.

“Hakikatnya Nabi Muhammad SAW menghijrahkan umat bagin­da daripada yang lemah kepada gagah, daripada tertindas kepada bebas dan daripada medan perperangan yang sempit ke medan luas serta dakwah daripada lingkungan keluarga kepada anggota masyarakat,” katanya.

Tunku Temenggong juga menyeru agar semua rakyat bersatu dan mengenepikan perbezaan fahaman politik serta tidak membiarkan negara retak dan hancur angkara manusia tidak bertanggungjawab.

“Janganlah kerana pemikiran sempit kita sanggup meruntuhkan tembok persaudaraan dan menggadai kehormatan negara yang dibina sejak sekian lama,” titahnya.

Pada majlis berkenaan Tunku Sallehuddin berkenan menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah Kedah kepada bekas Ketua Hakim Syarie Kedah, Datuk

Syeikh Yahaya Jusoh, 68, sebagai mengenang jasanya dalam bidang syariah di negeri ini.

Sementara itu seorang mualaf, Muhammad Yusuf Abdullah, 51, yang aktif dalam aktiviti dakwah menerima anugerah Tokoh Saudara Kita.