Begitu pun menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) negeri, Datuk Dr. Ismail Salleh, pihaknya masih menanti laporan daripada pihak berkuasa bagi menentukan tindakan lanjut yang perlu diambil terhadap pelakunya.

“Dalam hal yang bertentangan dengan agama dan undang-undang seperti penyebaran risalah Bible serta isu lesbian, gay, biseksual dan transgender, kita tidak berkompromi dan secara jelas menyatakan bahawa perkara itu salah.

“Kami sebagai kerajaan tidak akan sokong. Cumanya negara ini memiliki peruntukan undang-undang yang perlu kita patuhi dengan saya difahamkan pihak berkuasa seperti polis serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) sedang bekerjasama erat untuk menyelesaikan isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat melakukan himpunan aman serta perarakan membantah penyebaran Bible terhadap umat Islam di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Tambahnya, antara perkara yang masih belum jelas mengenai penyebaran Bible itu adalah tujuan perbuatan itu dilakukan sama benar untuk dilakukan oleh golongan yang betul-betul mahu menyebarkan Kristian atau dilakukan pihak tertentu bagi melakukan provokasi.

Mengenai kehadiran ribuat umat Islam yang terlibat dalam perhimpunan itu, Ismail berkata, beliau memahami kerisauan semua yang terlibat dengan kerajaan negeri ketika ini turut mencari jalan bagi memperkasakan penguatkuasaan undang-undang di Kedah.

“Sebelum ini saya sudah maklumkan tidak dapat menanti kehadiran mereka di sebelah pagi kerana perlu menunaikan tanggungjawab di Sik, lalu menjemput wakil masing-masing ke pertemuan di sebelah petang.

“Alhamdulillah, pertemuan berlangsung dalam suasana cukup harmoni dengan masing-masing diberi ruang meluahkan pandangan selain saya sendiri insya Allah akan memberi perhatian kepada beberapa perkara berbangkit,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE