Ibu kanak-kanak itu, Yusrima Yaacob, 31, berkata, anaknya itu terpaksa menggunakan bahasa isyarat untuk berkomunikasi dengannya jika hendak mendapat makanan, minuman dan lain-lain.

“Bagaimanapun, saya dapat menjaganya dengan baik walaupun dia tidak mempunyai kedua-dua belah telinga semasa dilahirkan.

“Simpati terhadap masalah­nya itu, pelbagai pihak tidak keberatan tampil menghulur sumbangan sambil melihat tentang gelagatnya itu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, dia hanya be­kerja mengopek ikan bilis de­ngan mempunyai pendapatan yang tidak seberapa manakala suaminya pula, Mohd. Khairul Nizam Hashim, 31, hanya kerja kampung, termasuk meracun dan lain-lain.

“Seorang lagi anak perempuan saya, Qaseh Rashamia, berusia ti­ga tahun tidak mempunyai sijil kelahiran dan berbagai usaha saya lakukan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Guar Cempe­dak tetapi belum memperolehnya.

“Banyak masalah pasti timbul bila anak tidak mempunyai sijil kelahiran, termasuk ketika hendak belajar di sekolah nanti, saya berharap masalah saya hadapi ini dapat diselesaikan segera manakala anak sulung saya, Mohd. Khairul Anuar, 8, pula dapat belajar dengan baik di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Dawai ketika ini,” kata Yusrima.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi (PICOMS), Datuk Mohd. Zubir Sheikh Saad berkunjung ke rumah Yusrima untuk menghulurkan bantuan kepada keluarga itu.