Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Negeri, Ruzaini Rais berkata, ini bermakna sekiranya tanpa sijil berkenaan, pusat itu beroperasi secara haram dan sekali gus tidak layak untuk dibantu iaitu mendapat peruntukan tahunan daripada majlis agama Islam negeri ini.

Beliau menjelaskan, sijil perakuan keselamatan JBPM adalah syarat yang diwajibkan bagi membolehkan pusat-pusat tahfiz di negeri ini mendaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JHEAIPs).

“Hanya mereka (pusat tahfiz) yang berdaftar di bawah JHEAIPs akan dibantu Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menerusi peruntukan tahunan atau keperluan lain yang mendesak.

“Maksudnya, mereka yang ingin membuka pusat tahfiz di Perlis, perlu ada sumber kewangan terlebih dahulu iaitu membina premis yang lengkap dengan ciri-ciri keselamatan untuk kelulusan JBPM sebelum boleh dibantu (jabatan agama),” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas luahan para pengusaha pusat tahfiz hari ini yang mengakui tidak mempunyai sumber dana mencukupi bagi memastikan keselamatan pelajar mereka.

Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, sebanyak 495 buah pusat tahfiz yang diperiksa di seluruh negara berdepan risiko kebakaran kerana mengabaikan faktor-faktor keselamatan.

Menurut Ruzaini, tujuan mensyaratkan agar setiap pusat tahfiz memperoleh sijil perakuan keselamatan JBPM adalah bagi memastikan tahap keselamatan di premis-premis berkenaan terjamin.

“Kita tidak mahu jabatan agama atau majlis agama nanti dipersalahkan sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini seperti kebakaran,” katanya yang memberitahu, pada masa ini terdapat sebanyak 12 buah pusat tahfiz berdaftar di bawah JHEAIPs.

Selain daripada itu, ujar Ruzaini, JHEAIPs turut menetapkan agar pusat-pusat tahfiz di negeri ini mestilah berada di bawah seliaan jabatan agama tersebut termasuk penetapan tenaga pengajar yang bertauliah. - UTUSAN ONLINE