Begitu juga daripada sekadar berniaga kecil-kecilan di rumah sehingga memiliki butik sendiri di pekan Jitra di sini koleksi Cindai kini menembusi pasaran di kota metropolitan apabila jenama pakaian berkenaan turut ditempatkan di pusat beli belah terkemuka, Metrojaya Mid Valley Megamall di Kuala Lumpur.

Bagi lima beradik yang merupakan anak jati Kubang Pasu iaitu, Datin Aida Suraini Ibrahim, 43, Aida Suziana, 39, Azrul Rizal, 36, Aida Suhaiza, 31, dan Azrul Izwan, 29, tiada yang lebih membahagiakan apabila dapat berkongsi minat yang sama untuk membangunkan perniagaan ini dan berbahagi rezeki dengan darah daging sendiri.

“Alhamdulillah apa yang ka­mi adik-beradik usahakan berjaya dan sehingga kini mampu bertahan. Nama Butik Cindai semakin dikenali di utara tanah air dan kini kami berhasrat untuk memperluaskan jenama ini ke ibu kota pula.

“Langkah berhasil apabila jenama Cindai turut ditempatkan di Metrojaya sejak Oktober lepas dengan lebih banyak koleksi sedia pakai yang sesuai untuk semua peringkat wanita,” katanya ketika ditemui di Butik Cindai di Jitra sini baru-baru ini.

Bercerita tentang pemba­bitan awal adik-beradik itu dalam bi­dang perniagaan berke­naan, kata Aida Suriani, ia bermula sejak 2004 secara kecil-kecilan dengan menjual tudung segera.

“Kami adik-beradik sejak kecil didedahkan dengan bidang jahitan kerana semua wanita dalam keluarga adalah tukang jahit daripada ibu sehingga mak saudara yang lain. Mungkin dari situ minat kami bercambah. Pada 2014 saya buka Butik Cindai di Jitra dengan disertai oleh adik-beradik lain.

“Kami adik-beradik mempunyai tugas masing-masing seperti Aida Suziana yang mengetuai bahagian akaun dan kewangan, Azrul Rizal sebagai ketua teknologi maklumat, Aida Suhaiza bahagian pemasaran kerana dia juga model jenama kami dan Azrul Izwan pula selaku pereka fesyen,” katanya yang pernah terlibat dalam bidang perbankan.

Tambahnya, Butik Cindai menyediakan pelbagai pilihan untuk pelanggan dengan koleksi baju kurung, blaus, palazo, skirt labuh dan seluar selain tudung serta tidak ketinggalan pakaian untuk lelaki.

“Sementara rekaan untuk Metrojaya pula sesuai untuk gaya hidup wanita metropolitan juga dengan konsep suai padan,” katanya.

Jelasnya, Butik Cindai juga turut menyediakan busana raja sehari dengan rekaan tradisio­nal seperti menggunakan fabrik songket.

Dalam pada itu, menurut Azrul Izwan, selaku pereka fesyen jenama Cindai, minatnya terhadap fesyen bermula sejak di bangku sekolah kerana dia turut mewarisi kepakaran menjahit daripada arwah ibunya.

“Cindai berusaha untuk memenuhi kehendak penggemar fesyen di daerah ini. Namun untuk koleksi di Metrojaya saya sediakan koleksi ready to wear yang boleh disuai padan bersesuaian dengan gaya hidup wanita di sana.

“Saya berusaha untuk me­nyuntik idea-idea segar ke dalam rekaan untuk setiap koleksi,” katanya yang menjadikan pereka fesyen Bill Keith sebagai idolanya.