Ketua Akrab, Saipol Bahari Mohd. Iman berkata, hanya beberapa kumpulan sahaja di negara ini yang masih berusaha mengetengahkan Mek Mulung selain Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

“Di Akrab sendiri, kami ke­tandusan pelapis untuk meneruskan seni warisan Kedah ini. Selain itu, soal dana menjadi kekakangan kepada Akrab dalam usaha untuk mengangkat Mek Mulung di mata rakyat negara ini.

“Oleh itu, kami sangat berharap mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri untuk membantu kami memperkenalkan Mek Mulung yang telah diiktiraf sebagai seni warisan Kedah,” katanya di sini baru-baru ini.

Sementara itu, pelakon te­a­ter, Mohamad Yusuf Azizan, 36, memberitahu, kesukaran untuk mendapat pelapis muda untuk menyertai teater tradisional tersebut disebabkan mereka perlu mempunyai kebolehan untuk berlakon, menyanyi dan menari pada masa sama.

“Misalnya dalam Mek Mulung, saya membawa watak sebagai Awang Pengasuh. Watak ini lebih santai tapi masih mengikut struktur Mek Mulung yang asal cumanya untuk menghiburkan penonton.

“Ini antara cabaran yang perlu dipikul sebagai pelakon teater. Untuk Mek Mulung ini, saya berpendapat tugasnya lebih berat kerana etika-etika teater tradisi­onal itu perlu dijaga,” ujarnya.

Bagi pemuzik, Saiful Azwan Abdul Aziz, 41, memberitahu, Mek Mulung juga menggunakan gendang ibu, gendang anak, buluh kecerek, gong dan serunai seperti kebanyakan teater tradisional lain.

“Setakat ini, hanya ada seorang dua sahaja pelapis yang boleh bermain alat tradisional ini. Malah untuk terlibat dalam teater tradisional ini, pemuzik juga perlu mempunyai kebolehan menyanyi untuk menyambut nyanyian penyanyi utama selain perlu mempunyai kemahiran untuk membaca notasi muzik.

“Pada masa ini, ramai remaja yang mempunyai kebolehan mengenai muzik bagaimanapun pendedahan dalam muzik tradisional masih kurang. Itu yang menyukarkan kami untuk mencari pelapis untuk mengete­ngahkan Mek Mulung,” katanya.