Pengerusi kelab itu, Norazamuddin Azizzan berkata, program tersebut merupakan salah satu cara untuk pihaknya berkongsi kegembiraan menyambut Ramadan serta persiapan Syawal dengan golongan kurang berkemampuan itu.

Menurutnya, kali ini, mereka memilih ibu tunggal, anak yatim dan fakir miskin di Kampung Nelayan Tanjung Dawai, di sini untuk menjayakan acara tahunan itu.

“Tahun ini, kami bergotong-royong memasak sajian berbuka puasa seperti gulai ayam, sayur-sayuran dan pelbagai menu lain bermula pukul 3 petang yang berupaya mengeratkan silaturahim antara satu sama lain.

“Kebiasaannya tahun-tahun lalu kami membawa asnaf untuk berbuka di hotel berdekatan bersama kakitangan Cassia Leaf sambil memberi sumbangan Aidilfitri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Norazamuddin berkata, Cassia Leaf turut menyampaikan barangan keperluan asas seperti beras, gula, kopi, kicap dan bihun serta duit raya kepada golongan asnaf terbabit.

Sementara itu, Ketua Kampung Nelayan Tanjung Dawai, Samad Hussien berkata, langkah pihak tersebut turun padang dan menjalankan pelbagai aktiviti menambahkan lagi keceriaan kepada penduduk di situ. - UTUSAN ONLINE