Ia juga menjadi manifestasi kematangan seorang lelaki untuk menjiwai seni berkenaan dengan menghasilkan karya berunsurkan keagamaan dan ketuhanan melalui seni khat.

Saiful Abdul Kadir, 44, yang berasal dari Temerloh, Pahang sebelum ini memilih karya kontemporari seni moden dan pop sebagai genre hasil karyanya.

Namun selepas menunaikan umrah kira-kira setahun lalu, seakan-akan memberi inspirasi untuk Saiful beralih arah mengenali seni khat sekali gus berkarya dengannya.

Selain menyifatkan kematangan dan usia menjadi faktor perpindahannya itu kata Saiful, seni berkenaan sangat dekat dengan jiwa dan kecintaannya kepada seni.

"Seni khat mempunyai keistimewaan dan keunikannya yang tersendiri apatah lagi ia merupakan antara khazanah tertua di dunia yang dimiliki umat Islam dan terus bertahan sehingga kini.

"Jadi tidak salah, saya memberi nafas baharu terhadap seni yang berteraskan kitab suci al-Quran dan citra keindahan tulisan Arab ini sebagai satu ekperimentasi dalam mempelbagaikan bakat seni yang dimiliki," katanya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Puteri Jaya dekat sini baru-baru ini.

Kegigihannya berkarya dalam seni khat kontemporari sejak setahun lalu menginspirasikan kakitangan Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia itu untuk menghasilkan sebanyak 30 karya daripada pelbagai tema, mesej dan jalan cerita.

Jelas beliau, setiap karyanya dihasilkan dalam tempoh empat hingga enam hari bergantung kepada kesukaran atau asas penceritaannya.

"Saya cenderung menerapkan elemen moral, sosial dan kehidupan dalam setiap karya kerana ia lebih dekat dengan jiwa masyarakat.

"Bagaimanapun, inti pati penceritaannya tetap berunsurkan keagamaan dan ketuhanan seperti mana fitrah manusia itu sendiri yang perlu berlandaskan kepada al-Quran dan hadis," ujarnya.

Karya Saiful menggunakan konsep rekaan kontemporari memandangkan beliau gemar bermain gabungan pelbagai warna untuk menterjemahkan maksud dan jalan penceritaannya.

"Dalam karya saya yang bertajuk Antara Syurga dan Neraka, saya menggunakan warna biru sebagai simbolik bagi melambangkan syurga, merah sebagai neraka manakala putih pula sebagai kesucian.

"Turut diselitkan sebuah kotak empat segi sebagai simbolik Kaabah sebagai lambang kiblat umat Islam di samping kalam Allahuakhbar.

"Secara ringkas, ia bermaksud setiap manusia diibaratkan seperti kain putih ketika dilahirkan serta diberi pilihan untuk melakukan kebaikan dan kejahatan dalam kehidupan ini dan segala amalan itu akhirnya akan dinilai oleh Allah," ujarnya.

Bapa kepada dua cahaya mata itu berkata, dia menggemari khat Tuluth berbanding khat lain seperti nasakh, diwani, diwani jali, farisi, riqa'h dan kufi dalam penceritaan karyanya biarpun memerlukan kesabaran dan kemahiran yang tinggi untuk menguasainya.

Beliau menegaskan pembabitan generasi muda dalam seni khat agak terhad dan berbangga apabila kehadirannya dalam bidang itu sekurang-kurangnya diharapkan menginspirasikan lebih banyak anak muda berkecimpung di dalamnya.

"Kaligrafi khat kurang diminati kerana ia kurang berinovasi dan pelukis-pelukis masa kini juga kurang menerokai seni tersebut kerana tulisan itu jarang digunakan pada masa kini.

"Sebagai pelukis, saya bukan sahaja perlu kreatif malah berani membuat satu formula visual yang berbeza dari bentuk dan gaya yang terdahulu bagi menarik minat golongan berkenaan.

"Dengan kata lain, pelukis seni ini harus menciptakan gaya yang asli dan segar bersesuaian dengan tuntutan jiwa zaman sekarang tanpa berkompromi dengan mesej yang mahu disampaikan," katanya.

Menjadi satu kebanggaan kepada Saiful apabila beliau mampu berkongsi karyanya dengan peminat seni khat lain dan hasil karyanya bernilai daripada RM5,000 hingga RM10,000 bergantung kepada saiz.