Mohd. Rosdi Does, 37, berkata, anaknya Muhammad Amsyal, sembilan bulan dijaga rapi sepanjang masa supaya tidak terdedah dengan udara luar kerana mudah sesak nafas.

“Ketika dilahirkan, Amsyal normal seperti bayi lain tetapi selepas dua bulan keadaannya berubah dan doktor mengesahkan dijangkiti kuman pada paru-paru menyebabkannya ditahan di wad Hospital Sultanah Bahiyah selama enam bulan sebelum dirujuk ke Hospital Pulau Pinang (HPP),” kata Mohd. Rosdi ketika ditemui di rumahnya di Kampung Seri Ketengga, Mukim Siong di sini, hari ini.

Sejak itu, Amsyal terpaksa berulang alik ke hospital mengikut jadual yang diberikan oleh doktor lantas menjadikan dia tidak dapat menumpu perhatian kepada pekerjaannya sebagai penoreh getah.

“Pendapatan hasil menoreh getah tidak menentu, lebih kurang RM700 sebulan untuk menyara keluarga dan empat anak termasuk tiga daripadanya masih bersekolah,” katanya.

Menurut Mohd. Rosdi, isterinya, Norhafizah Abd. Rahman, 33, hanya suri rumah dan dia juga tidak sihat yang menyebabkan dia tidak boleh menahan rasa cemas yang melampau yang boleh menyebabkan dia pengsan serta-merta.

“Kos yang perlu disediakan hampir RM1,500, tetapi kami tidak mempunyai wang sebanyak itu menyebabkan saya terpaksa menggunakan pita pelekat untuk mengelakkan topeng mukanya longgar ataupun tertanggal,” katanya.

Katanya, walaupun Jabatan Kebajikan Masyarakat memberi bantuan sebanyak RM350 sebulan, namun tidak mencukupi terutamanya ketika mereka terpaksa berulang-alik ke hospital.

Mereka juga memerlukan sebuah kerusi roda khas bayi untuk meletakkan mesin pernafasan, bateri mengecas dan segala keperluan bayi bagi memudahkannya membawa Amsyal ke hospital.

Bagi mereka yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun BSN 0200541000127961 atas nama Mohd. Rosdi Does. - UTUSAN ONLINE