Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, bayaran levi itu dilaksanakan sebelum ini bagi memberi peluang kepada pemaju untuk menukar status rumah yang tidak terjual selepas siap dalam tempoh lima hingga 10 tahun.

Menurutnya, hasil kutipan tabung tersebut akan digunakan untuk membina rumah khusus untuk bumiputera sahaja di kawasan strategik berhampiran bandar.

“Di pihak kerajaan negeri, kami juga mempertimbangkan seperti mana yang dibenarkan dalam dasar untuk mengenakan levi supaya kita dapat kutip dana apabila rumah ini dijual kepada bukan bumiputera.

“Hasil kutipan itu akan dimasukkan dalam Tabung Rumah Harapan dan dana ini digunakan untuk menyediakan rumah-rumah kuota bumiputera, ada pulangan yang kita guna balik untuk kita selesai masalah asal,” katanya selepas merasmikan penutup Ekspo Hartanah Malaysia di Aman Central di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Tan Kok Yew dan Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mohd. Zohdi Saad. - UTUSAN ONLINE