Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd. Faizol Ab. Aziz berkata, pusat pemindahan yang dibuka ialah di Dewan Komuniti Kampung Banggol Derom, Dewan orang ramai Batu 48, Surau Kampung Lahar dan Dewan Belia Kompleks Sukan Baling.

Menurutnya, sebanyak tujuh kampung terjejas akibat bencana banjir tersebut ialah Kampung Lalang, Kampung Siput, Kampung Bandar, Kampung Paya, Kampung Chenerai, Kampung Banggol Deram dan Kampung Jenalik.

“Hujan lebat selama beberapa jam petang semalam menyebabkan air Sungai Ketil dan Sungai Jenalik melimpah mengakibatkan tujuh kampung terjejas dan ditenggelami air sedalam 1.2 meter.

“Dewan Komuniti Kampung Banggol Derom merupakan pemindahan pertama dibuka pada kira-kira pukul 10.40 malam membabitkan 23 mangsa daripada lima keluarga,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Faizol memberitahu, dua lagi pusat pemindahan iaitu dewan orang ramai Batu 48 dan Surau Kampung Lahar dibuka pada pukul 2 pagi membabitkan 29 mangsa daripada 10 keluarga.

“Pusat pemindahan keempat di Dewan Belia Kompleks Sukan Baling pula dibuka pada pukul 10 pagi yang menempatkan 71 mangsa daripada 20 keluarga,” ujarnya.

Tambahnya, orang ramai yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Pejabat APM di talian 04-4701546 atau Bilik Gerakan APM (24 jam) di talian 04-4701626.