APM bertindak sebagai Sekretariat Pengurusan Bencana mempunyai peranan tersendiri yang merangkumi penelitian tugasan dalam bentuk pengurusan serta perancangan selain menyediakan rangka kerja kepada Pe­ngarah Pusat Bencana.

Dalam setiap kejadian bencana, setiap aspek bantuan ke­­selamatan akan diberikan tum­puan sewajarnya memandangkan ia penting bagi menjamin kelancaran operasi menyelamat mang­sa bencana.

Ketua Bahagian Operasi Pertahanan Awam negeri, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, aspek latihan diberikan perhatian sewajarnya untuk membolehkan setiap anggota diletakkan dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi kemungkinan berlaku sebarang bencana.

Menurutnya, latihan bagi ang­gota berhadapan dengan ban­jir diadakan secara berja­dual sebagai usaha untuk me­nge­kalkan kecekapan dalam me­­nyelamat dan menguruskan mangsa banjir.

“Kebiasaan, banjir berlaku dalam musim tengkujuh iaitu sekitar September hingga hujung tahun jadi anggota diberikan latihan lebih awal bagi memastikan kelancaran menyelamatkan mangsa terma­suk pengurusan di pusat pemindahan sementara (PPS),” jelasnya.

Bagi APM daerah Kota Setar, tugasan mencabar itu disahut oleh seramai 200 anggota yang bersedia memikul tugas tersebut dengan penuh dedikasi.

Pegawai Pertahanan Awam Kota Setar, Kapten (PA) Mohd. Zain Bahrum berkata, banjir sering berlaku daerah tersebut memandangkan terdapat banyak kawasan rendah selain terletak berhampiran dengan pinggir sungai.

“Kita sudah mengenalpasti kawasan yang selalu dinaiki air, jadi anggota akan ditempatkan sebagai persediaan awal dalam membantu penduduk sekiranya keadaan berubah menjadi semakin buruk,” katanya.

Tambahnya, anggota berkemahiran ditempatkan sebagai pasukan tindak balas yang akan melaksanakan misi bantuan manakala anggota lain akan ditugaskan menguruskan PPS dari aspek seperti penye­diaan makanan dan pendaftaran mangsa.

Dalam pada itu, bagi Pegawai Operasi Pertahanan Awam daerah Kota Setar, Mohammad Rizal Abd. Razak memberitahu, latihan berkaitan pengurusan bencana sangat penting bagi setiap anggota agar mereka faham tentang peranan penyelamat dalam situasi genting.