Setiausaha Bahagian Perumahan Kerajaan Kedah, Syed Khairol Anuar Syed Abidin berkata, seramai 9,000 penjawat awam di negeri ini perlu merebut peluang untuk memiliki rumah berkenaan yang akan dijual pada harga di bawah RM200,000 seunit.

“Sebanyak 14 projek PPA1M melibatkan pembinaan 7,000 unit rumah pelbagai jenis akan dibuat secara berperingkat di seluruh ne­geri ini sehingga 2018 dengan kadar 15 hingga 20 peratus lebih murah daripada harga pasaran.

“Penjawat awam berpendapatan di bawah RM3,800 sebulan layak mendaftar untuk membeli rumah tersebut dalam Pameran PPA1M peringkat Kedah yang akan berlangsung di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti di sini pada 19 Mei nanti,” katanya di sini hari ini.

Menurut Syed Khairol, berdasarkan statistik sebanyak 90 peratus penjawat awam di negeri ini yang berpendapatan RM3,800 dan ke bawah masih belum memiliki rumah sendiri.

“Setakat ini dua projek PPA1M telah siap dibina iaitu 96 unit di PPA1M Taman Sayang di Jalan Kuala Sungai di sini dan 90 unit di PPA1M Belleza di Jitra.

“Kebanyakan rumah PPA1M yang dibina di negeri ini dibangunkan di kawasan strategik dan mempunyai nilai komersial pada masa hadapan seperti Sungai Petani, Kulim dan Pokok Sena,” ujarnya.

Beliau memberitahu, lebih 14 buah gerai pameran melibatkan pemaju swasta dan institusi kewa­ngan akan dibuka untuk memudahkan penjawat awam mendapatkan maklumat mengenai rumah PPA1M.

Tambahnya, pameran tersebut dijangka dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah.