Setiausaha kariah Masjid Al-Makmur Sungai Lalang, Azman Abd. Manaf berkata, pemberian beras tersebut sekurang-kurangnya dapat menceriakan setiap penerima terutamanya dalam kalangan keluarga susah.

“Penghargaan juga diberikan kepada Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (Aimst) Merbok, di sini kerana tampil memberi kerjasama bagi menjayakan Kempen Pendidikan Kesihatan 2019 di masjid ini.

“Seramai 20 orang doktor dan 20 orang pelajar bidang perubatan di Aimst turut membuat pemeriksaan dan memberi rawatan kepada penduduk di kawasan itu termasuk masalah mata, payudara, kencing manis, darah tinggi dan lain-lain,” katanya di sini hari ini.

Ahli Parlimen Merbok, Nur Azrina Surip turut hadir bagi menyampaikan sumbangan beras dan merasmikan kempen pendidikan kesihatan tersebut.

Tambah Azman, aktiviti itu secara tidak langsung berjaya mengeratkan hubungan baik antara pengurusan masjid dengan masyarakat sekitar.

Dalam pada itu, pelajar tahun tiga Aimst, Nadiyaa Nabilah Abdul Jasheer, 22, berkata, program itu memberi peluang kepada dirinya berbakti kepada masyarakat.

“Saya berpeluang merawat masalah kesihatan yang dihadapi oleh komuniti tempatan serta meningkatkan teknik untuk berinteraksi dengan pesakit,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE