Dalam operasi bermula pukul 8.30 pagi itu, mereka yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki Indonesia serta masing-masing tujuh lelaki Myanmar dan Bangladesh.

Pengarah Imigresen negeri Zuhair Jamaludin berkata, ke­semua warga asing tersebut berusia antara 21 hingga 48 tahun.

“Siasatan awal mendapati me­reka telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Terdapat juga pekerja asing yang melanggar Perkara 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Tambah Zuhair, operasi ber­kenaan turut disertai 16 anggota Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), 10 anggota Pejabat Kesihatan Kota Setar, empat kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan empat lagi daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

“Kami turut mendapat kerjasama Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Akademi Binaan Malaysia (ABM) dan Jabatan Keselamatan Kesihatan Pekerja (JKKP).

“Kesemua mereka ditahan di lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada Depot Imigresen Belantik di Sik,” katanya.