Program celik kewangan anjuran MNRB Holdings Bhd. (MNRB) kali ketujuh itu diadakan sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2019 yang menyediakan pelbagai aktiviti berkaitan aspek pengurusan kewangan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB, Mohd. Din Merican berkata, program itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bertujuan memberi pendedahan awal kepada murid mengenai kepentingan menabung secara bijak.

“Program MNRB Ringgit Savvy ini merupakan usaha pihak kami untuk memberi galakan kepada murid-murid supaya menanam dan mengamalkan sikap suka menabung daripada usia yang muda.

“Program ini telah mendedahkan murid dengan aktiviti permainan interaktif MNRB Ringgit Quest yang menyeronokkan, dengan mereka secara berkumpulan perlu bekerjasama menjawab soalan serta membuat keputusan yang berkaitan tabiat perbelanjaan harian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program itu di perkarangan SK Kampung Kuala Sin, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden dan Ketua Pegawai Kewangan, Modal Insan dan Teknologi Maklumat Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Datuk Mohd. Nizam Zainordin dan Penolong Kanan sekolah itu, Azhar Japar.

Pada majlis sama, MNRB turut menyerahkan unit Amanah Saham Nasional Bumiputera (ASNB) bernilai RM20 setiap seorang kepada seramai 153 orang murid-murid SK Kampung Kuala Sin termasuk murid prasekolah.

Tambah Mohd. Din, pembukaan akaun itu secara tidak langsung dapat memupuk minat murid-murid untuk menabung sejak dari awal usia sekali gus mengurus kewangan secara berhemah.

Sementara itu, Azhar memuji inisiatif MNRB yang prihatin terhadap keperluan murid sekolahnya yang terletak di kawasan luar bandar dan sumbangan unit ASNB itu secara tidak langsung akan memupuk tabiat menyimpan wang kepada murid demi masa depan. -UTUSAN ONLINE