Pengerusi Bikum, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) tidak pernah meminggirkan soal kebajikan rakyat dan perkara itu terbukti sejak dahulu tanpa berkurangan baik dari segi bantuan mahupun jumlah peruntukan.

“UMNO dan parti komponen BN tidak pernah melaksanakan bantuan hanya untuk berpolitik sahaja, sebaliknya ia dilaksanakan berterusan merangkumi segenap lapisan masyarakat di seluruh negara tanpa pernah mengira perbezaan politik.

“Inisiatif ini nyata berbeza berbanding Pakatan Harapan yang dilihat gemar berpolitik dengan menabur pelbagai janji kononnya bagi membantu rakyat sebaliknya, mereka tidak laksanakan dengan konsisten, hanya ketika kempen menjelang pilihan raya sahaja demi meraih undi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program UMNO Bantu Rakyat di Pejabat DUN Hulu Bernam, Hulu Selangor di sini.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian  Hulu Selangor, Datuk Ahmad Nadzeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Bernam, Datuk Rosni Johar.- UTUSAN ONLINE