MOHD. SHARKAR

Hakikatnya, Jabatan Ukur dan Pemetaan yang menjalankan kajian mengesahkan dan mengiktiraf bahawa Kampung Paya Siput, Lanchang di sini sebagai lokasi ber­kenaan.

Sehubungan itu, kerajaan ne- geri akan membina monumen di Batu 11 di situ sebagai deklarasi rasmi bahawa kampung tersebut merupakan lokasi sebenar titik tengah Semenanjung Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsuddin berkata, mercu tanda yang akan dibina itu menambahkan lagi keunikan negeri ini dengan promosi produk terbaharu tersebut terus dipergiat bagi menjadikan Kampung Paya Siput sebagai tumpuan pelancong domestik dan luar.

“Kedudukan kampung ini sebagai lokasi di tengah tanah Semenanjung Malaysia diambil kira daripada arah empat mata angin utama. Keistimewaan ini mampu memberi ke­­san besar terhadap sektor ekonomi khususnya daripada aspek pe­lancongan negeri.

“Penemuan pro­duk baharu pelancongan ini secara langsung menambah lokasi pelancongan bertaraf dunia,” katanya selepas program Fellowship Ride To The Centre of Peninsular Malaysia anjuran Persatuan Berbasikal Daerah Temerloh dengan kerjasama kerajaaan negeri menerusi Tourism Pahang, baru-baru ini.

Lebih 600 peserta termasuk dari luar negara seperti Amerika Syarikat, Thailand, Hong Kong, Taiwan, Singapura menyertai program tersebut.

Menurut Mohd. Sharkar, Majlis Pembangunan Wilayah Eko­nomi Pantai Timur (ECERDC) akan mem­bangunkan lokasi ti­tik tengah Seme­nanjung itu se­bagai destinasi eko­pelancongan yang baharu.

Dalam pada itu, beliau berkata, pe­nganjuran Fellowship Ride To The Centre of Peninsular Malaysia berjaya mempromosikan Kampung Paya Si­put sebagai ikon pelancongan terbaharu di negeri ini.

Kata beliau, program kayuhan santai yang julung kali diadakan itu antara lain bertujuan memberi pendedahan kepada para peserta tentang lokasi sebenar titik tengah Semenanjung Malaysia.

“Kayuhan ini bukan sahaja untuk memartabatkan sukan berbasikal malah turut mempromosikan tempat-tempat menarik di daerah ini yang terkenal dengan jolokan ‘Bandar Ikan Patin’,” katanya.