Sama ada teori domino bentuk baharu akan menguasai dengan gelombang politik moden sedang menanti untuk meletus, kajian Institut Pengajian Asia Tenggara (ISEAS)-Yusof Ishak yang berpangkalan di republik itu membangkitkan polemik dan manifestasi.

Sudah tentu cakupan dan perspektif yang diperoleh itu tidak memberikan kelegaan sama ada kepada pihak pemerintah atau pembangkang dalam merebut kuasa pemerintahan di negeri ini kerana tidak mencerahkan pola pengundian orang Johor untuk PRU-14.

ISEAS melakukan kajian dan analisis berdasarkan kepada perbincangan kumpulan berfokus secara mendalam dan temu bual dengan masyarakat di kawasan luar bandar negeri ini.

Dapatan kaji selidik itu dibentangkan dalam sebuah forum ISEAS dan dimaklumkan ramai pengundi belum membuat keputusan parti pilihan mereka.

Mereka masih berada di persimpangan politik yang mengelirukan, bimbang ‘tersesat jalan’ dan tidak dapat berpatah balik.

Ini kerana pada mereka, BN dan Pakatan Harapan masih gagal memberi sebab yang kuat untuk memilih mereka. Pengundi mengharapkan akan ada sinar di hujung jalan.

Penyelaras Program Pengajian Malaysia di ISEAS-Institut Yusof Ishak, Dr. Francis Hutchinson berkata, perkembangan itu adalah trend seluruh negara yang sedang berlaku di Johor.

“BN menunjukkan rekod cemerlang di Johor selama berdekad. Bagaimanapun, dalam banyak cara, corak pengundian di Johor beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan normalisasi dengan trend umum di Malaysia,” katanya.

Johor secara tradisinya melakar dinamik politik yang berlainan dari negeri lain. Ini memang tidak dinafikan malah perkembangan politik di Johor diperhatikan terutama sokongan terhadap BN dijadikan penanda aras untuk menilai tahap sokongan BN di negeri lain.

Menerusi tinjauan itu, 35 peratus responden menyatakan masih menyokong BN manakala 10 peratus responden lagi memihak kepada Pakatan Harapan.

Bagaimanapun sejumlah 55 peratus responden lagi belum membuat keputusan atau tidak menyatakan kecenderungan mereka.

Jika dilihat daripada capaian penyelidikan itu, penentu kepada pihak yang menang PRU-14 adalah bergantung kepada responden 55 peratus tersebut yang sudah tentu berada atas pagar.

Didapati mereka hilang kepercayaan dalam doktrin politik dan kebarangkalian tidak mahu memberi mandat dalam PRU-14. Kajian tersebut menunjukkan BN kekal berkuasa walaupun akan hilang sokongan dan beberapa kerusi Parlimen BN akan terlepas daripada genggaman.

Orang Johor tidak lagi peduli parti mana akan mewakili mereka selepas pilihan raya umum nanti disebabkan kekecewaan rentetan daripada keletihan dengan kerenah ahli politik.

ISEAS adalah satu badan yang wibawa dan profesional bukan sahaja menjalankan penyelidikan dan analisis politik tetapi inklusif kepada pelbagai isu termasuk hal-hal sejagat. Apa agenda mereka, itu boleh dikesampingkan ketika ini.

Asas kajian ISEAS mengenai situasi politik Johor itu memang ada. Penilaian yang adil dan sebebas-bebasnya tanpa dicengkam atau dipengaruhi mana-mana pihak perlu dilakukan.

Antara logikalnya ialah penulis pernah mendapat kajian daripada pelbagai pihak di negeri ini yang hasilnya sama atau hampir serupa dengan kajian ISEAS. Contohnya kerusi Parlimen Pulai, Pasir Gudang dan Tebrau yang akan jatuh ke tangan pembangkang.

Begitu juga trend dan sentimen rakyat Johor yang hingga kini kita tidak tahu kecenderungan mereka walaupun secara tradisinya negeri ini adalah benteng BN. Tiada siapa dapat menilik dengan tepat apa yang akan diputuskan mereka sebagai pemain demokrasi utama dalam PRU-14.

Ini termasuk dilema mereka dalam membuatkan keputusan sama ada memilih calon atau parti.

Banyak isu yang akan jadi penentu keputusan PRU-14 antaranya peralihan undi Melayu yang dikatakan akan menjadi faktor penentu kemenangan atau kekalahan BN.

Kewujudan parti serpihan hasil perpecahan politik Melayu tidak dinafikan akan mengalih kira-kira 15 peratus sokongan pengundi bumiputera itu selain isu-isu semasa di negeri ini antaranya kos sara hidup, rumah mampu milik, gaji dan sebagainya.

Kajian boleh berubah kerana bersifat semasa dan bukan panduan atau rujukan yang definitif. Namun adalah tidak bijak jika perangkaan dan statistik yang diperoleh ditolak begitu sahaja walaupun tidak boleh dijadikan hujah atau teori politik.