Pengarahnya, Azrin Borhan berkata, lelongan tersebut membabitkan 55 buah motosikal, dua buah kereta, dua buah lori lima tan dan sebuah van, dengan 55 daripada kenderaan itu boleh dilesenkan semula.

Menurutnya, sebuah lori jenis Isuzu tahun 1997 merupakan kenderaan paling mahal dilelong dengan harga RM9,800 manakala motosikal Yamaha Y80 tahun 1983 dibeli dengan harga paling rendah iaitu RM200.

“Seramai 55 pembida termasuk dari negeri lain menyertai proses lelongan yang bermula pukul 9 pagi. Pada lelongan yang dianjurkan kali pertama pada Mei lalu, kita berjaya memperoleh sebanyak RM55,550 hasil lelongan 50 buah motosikal,” katanya di sini hari ini.

Azrin berkata, kesemua kenderaan itu disita ketika operasi JPJ dan pemiliknya didapati melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, pihaknya tidak melelong kenderaan sewenang-wenangnya kerana pemilik diberi tempoh 90 hari untuk menuntut dan menyelesaikan masalah kenderaan serta tambahan 30 hari lagi sebagai peringatan, sebelum tindakan sita diambil. - UTUSAN ONLINE