Berjaya menarik lebih 300 pemilik kereta klasik Volkswagen dari dalam dan luar negara, antaranya Indonesia, Thailand dan Singapura, program berkonsepkan perkhemahan itu ternyata berjaya mencetuskan satu tarikan baharu ke Sedili.

Jika sebelum ini pantai Jason Bay yang biasanya agak sunyi tanpa sebarang aktiviti pada hujung minggu tiba-tiba berubah ‘wajah’ apabila ‘diserang’ Volkster, pemilik kereta klasik itu.

Menerusi program tersebut, kawasan pantai Jason Bay diwarnai dengan pelbagai aktiviti bukan sahaja bagi pemilik kereta klasik Volkswagen, malah turut disertai penduduk tempatan.

Itulah hasil cetusan idea unik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain yang berusaha memperkenalkan Sedili terutamanya sebagai salah satu produk pelancongan terke­nal di negeri ini.

Usaha dan idea itu sebenar­nya bukan sesuatu yang baharu kerana sebelum ini Rasman pernah mengambil tindakan berani dan berisiko apabila menanam pokok ru di kawasan pantai tersebut.

Idea beliau itu mendapat kecaman banyak pihak, malah ada yang menyifatkannya sebagai satu tindakan bodoh, namun usa­ha itu membuahkan hasil apabila pantai Jason Bay dipenuhi deretan pokok ru yang mampu 'memayungi' pantai berkenaan.

Di lokasi itu, Johor VW Swap Meet Camp dijalankan hasil anjuran Pejabat ADUN Sedili bersama Kelab Johor VW Classickers Johor Bahru dan Kota Tinggi de­ngan kerjasama Tourism Johor, Kejora, Pejabat Daerah Kota Tinggi, Majlis Daerah Kota Tinggi, Maj­lis Belia Felda Malaysia, Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Tinggi dan Jabatan Kerja Raya.

Menurut Rasman, apa yang dilakukannya adalah semata-mata mahu Sedili yang mempunyai pelbagai tarikan dan kesan serta limpahannya dapat diperoleh penduduk tempatan, sekali gus perlu direbut.

“Sudah tiba masa, Sedili perlu menawarkan kelebihannya kepada pelancong tempatan dan asing dan saya mahu orang Sedili tidak hanya menjadi pemerhati, mereka perlu bersedia merebut peluang yang bakal muncul.

“Oleh sebab itu, saya berusaha menganjurkan pelbagai aktiviti di kawasan ini seperti program menghimpunkan kereta klasik Volkswagen, saya mahu orang luar ke sini dan melihat sendiri apa yang ada di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau percaya dengan pe­nganjuran program seumpama itu mampu memberikan kesan berganda kepada penduduk Sedili serta kawasan tersebut dan ternyata percaturan itu membuahkan hasil yang baik.

Menurutnya, hasil kejayaan program itu pihak Tourism Johor mahu Johor VW Swap Meet Camp dijadikan acara tahunan, malah mahu dianjurkan dalam skala lebih besar pada tahun depan.

“Ini sahaja yang saya mampu buat untuk masyarakat di Sedili, saya mahu melihat mereka dapat menjana pendapatan daripada penganjuran aktiviti sebegitu selain terus berusaha menjadikan Sedili tempat tumpuan pelancong,” katanya.

Mengenai Johor VW Swap Meet Camp, Rasman memberi­tahu, pelbagai aktiviti diadakan sepanjang program itu antaranya ‘car boot sale' yang menjual barangan berkaitan kereta Volkswagen oleh pemiliknya.

Selain itu, aktiviti mengete­ngahkan budaya rakyat Johor amnya dan Kota Tinggi khususnya turut diadakan seperti persembahan tarian zapin dan rewang nasi ambeng bersama-sama komuniti Sedili.