Walaupun terdapat penghuninya yang merayu supaya tindakan tersebut tidak dilakukan, para penguat kuasa berkenaan tetap menyita rumah mereka.

Kejadian itu mendapat perhatian UMNO Bahagian Pasir Gudang yang mengecam tindakan berkenaan dan mahukan masalah tersebut dibawa ke meja rundingan sebelum menghalau mereka dengan cara itu.

Ketua Pemudanya, Azleen Ambrose berkata, sepatutnya pihak Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) atau setiausaha kerajaan (SUK) bahagian perumahan berbincang dengan penyewa bagi mengetahui masalah mereka.

“Pihak yang berkenaan harus menggunakan budi bicara, berikan mereka tempoh untuk membayarnya dan buat dokumen aku janji. Kita lihat tindakan yang diambil seperti tidak mengikut prosedur,” katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.

Beliau berkata, tindakan tersebut tidak wajar dilakukan kerana rumah merupakan satu keperluan yang amat penting dan tambahan pula majoritinya adalah penyewa Melayu.

Sementara itu, usaha mendapatkan komen Yang Dipertua MPPG, Zainor Adani melalui panggilan dan menghantar pesanan ringkas menerusi WhatsApp tidak dijawab atau menerima sebarang balasan. - UTUSAN ONLINE