Menurut seorang penduduk Taman Pasir Putih di sini, Siti Hawa Tumpang, 48, dia kecewa dengan pihak hospital yang mendakwa anaknya hanya berpura-pura sakit, namun pekerja kilang itu yakin anaknya tidak berbuat demikian dalam soal kesihatan.

Sehubungan itu, dia yang turut berasa terkesan dengan insiden itu menyeru pihak bertanggungjawab yang sehingga kini didakwa tidak memberikan bantuan supaya memberi kerjasama mengatasi masalah itu sekali gus tidak melepaskan tangan sesuka hati mereka dalam soal berkenaan.

“Saya kesiankan anak-anak, yang pertama kes Sungai Kim Kim yang kedua, saya pun tak tahu apa sampai tak pergi sekolah, sesak nafas, sekarang pun tengah sakit lagi, saya sedih melihat kedua-dua anak perempuan saya masing-masing berusia 16 tahun dan 10 tahun.

“Kita kesiankan anak-anak sekolah yang waktu dah terbiar begitu, timbang rasalah sikit. Saya dah beberapa kali bawa jumpa doktor tapi katanya tiada apa-apa dan cakap kalau bibir dah biru baru bawa ke hospital, nak tunggu mati ke apa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, seorang suri rumah dari Kampung Pasir Putih, Siti Nor Azizah Amat, 33, berkata, dia cukup trauma dengan masalah kesihatan anak perempuannya yang berumur 11 tahun dan bersekolah di Sekolah Kebangsaan Tanjung Puteri Resort sejak mengalami sesak nafas dan muntah-muntah 20 Jun lalu.

Menurutnya, anak sulung dari tiga adik beradik itu sering demam sehingga tidak dapat ke sekolah malah perlu menjalani sesi psikatri bagi proses pemulihan.

 

“Sebagai ibu, sudah tentu saya bimbang apa-apa yang terjadi. Kalau hendak cakap soal perlu berpindah dari sini (Pasir Gudang), kemana kami perlu pindah kerana saya sememangnya berasal dari Kampung Pasir Putih sejak kecil malah suami juga bekerja di kawasan sini.

“Ada kata anak saya main-main, kalau main-main kenapa perlu ambil darah, setiap kali pergi mesti perlu ambil darah lepas itu masuk air, kalau tak perlu buat apa nak ambil darah kan. Jadi, tolonglah atasi masalah ini dengan segera,” katanya. - UTUSAN ONLINE